Papan iklan royalti akan makan diri sendiri, kata naib presiden PAS

Papan iklan royalti akan makan diri sendiri, kata naib presiden PAS

Hasrat Putrajaya yang ingin menyalurkan wang ihsan kepada kerajaan negeri Kelantan menunjukkan kerajaan pusat sedang berbohong kepada rakyat negeri itu tentang peruntukan sebenar royalti minyak, kata Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Naib presiden PAS itu mendakwa apa yang cuba diselindungkan Putrajaya melalui papan iklan (billboard) yang dipasang di sekitar kawasan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor akan menyerlahkan pembohongan kerajaan persekutuan.

"Sebenarnya, billboard itu akan makan diri sendiri kerana rakyat akan tengok siapa yang bohong. Walaupun ia cuba menafikan apa yang dihujahkan R, tetapi isu itu sebenarnya membuktikan kerajaan pusat berbohong dengan rakyat Kelantan," katanya merujuk Pertubuhan R Kelantan yang memperjuangkan bayaran royalti petroleum untuk negeri itu.

Bercakap pada satu sidang media di Markas Besar PAS di Pengkalan Kubor hari ini, Tun Ibrahim berkata dengan pengisytiharan itu, jelas pembohongan kerajaan pusat terhadap isu royalti minyak Kelantan.

"Selama ini, mereka kata Kelantan tak layak, tiba-tiba diisytihar Kelantan dibayar wang ihsan sebagaimana Terengganu. Ini bererti, yang berbohong bukan kerajaan negeri, tetapi kerajaan pusat.

"Soal kedua, tentang mekanisme. Jika perjanjian dibuat dengan kerajaan negeri, pembayaran mesti dibuat kepada kerajaan negeri, bukan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) atau pihak lain," katanya.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed minggu lalu menggesa PAS menghentikan kempen menuntut royalti minyak semasa PRK DUN Pengkalan Kubor kerana Putrajaya sudah pun memberikan wang ihsan kepada Kelantan.

Katanya, isu royalti yang dimainkan PAS itu tiada maknanya kerana sumbangan wang berkenaan sudah pun disalurkan kepada JPP.

"Kerajaan pusat setuju setelah ada perbincangan, dan mulai tahun depan, wang ihsan akan dibahagi 50-50 lebih kurang, antara JPP dan Majlis Agama Islam Kelantan (Maik)."

Kata Mustapa, perkara itu sudah dipersetujui secara prinsip tetapi belum ditandatangani secara rasmi. "(Hanya) mesyuarat di Kementerian Kewangan. Kita anggap Maik sebagai kerajaan negeri."

Ahli Parlimen Kota Bharu Datuk Takiyuddin Hassan yang turut sama pada sidang media itu turut menggesa Putrajaya menjelaskan perbezaan wang ihsan yang dibayar kepada Kelantan dan Terengganu.

Katanya, wang ihsan kepada Terengganu dibayar terus kepada kerajaan negeri tetapi Kelantan tidak mendapat layanan serupa.

“Kita nak kemuka soalan kepada kerajaan pusat. Apa beza wang ihsan Terengganu dan Kelantan? Wang ihsan Terengganu dibayar terus kepada kerajaan Terengganu dan semasa PAS perintah Terengganu dahulu, wang ihsan sudah bernilai lebih RM1 bilion setahun dan sudah dibayar beberapa kali semasa kita memerintah,” katanya. – 22 September, 2014.