PAS bincang pilihan raya kecil Pengkalan Kubor esok

PAS akan bermesyuarat mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Pengkalan Kubor esok bagi menentukan sama ada ia akan meletakkan calonnya atau diserahkan kepada PKR.

Yang Dipertua PAS Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata perkara itu masih di peringkat perbincangan berikutan.

"Mungkin akan bincang esok di Kota Baru," jawabnya ringkas ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini.

Ditanya adakah calon PAS sudah disenarai pendek dan berasal dari Kelantan, beliau berkata: "Belum bincang. Belum sampai situ lagi."

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor kosong selepas kematian penyandangnya, Datuk Noor Zahidi Omar, pada 20 Ogos.

Rabu lepas, Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Abdullah (gambar, kiri) berkata walaupun kerusi itu pernah ditandingi PKR, PAS berhasrat bertanding di kawasan itu kerana yakin menang.

Beliau menyifatkan kerusi itu "dipinjam" kepada PKR pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu dan PAS boleh kembali mempertahan kerusi itu berikutan ada sokongan kuat dari akar umbi.

"Kerusi itu memang milik PAS sebelum ini tetapi atas dasar Pakatan (Rakyat) kita beri pinjam kepada PKR untuk bertanding menentang Barisan Nasional dalam PRU13 lalu," katanya seperti dilaporkan Bernama.

Abdul Rahim berkata setakat ini PAS masih belum menyatakan pendirian mengambil kerusi itu dari PKR.

"Tak tahu. Belum bincang lagi. Esok baru bincang," katanya.

Pada PRU13, Noor Zahidi, yang juga timbalan pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan memenangi kerusi itu dengan majoriti 1,736 undi dalam saingan tiga penjuru mengalahkan calon PKR dan Bebas. – 31 Ogos, 2014.