PAS gesa tubuh RCI siasat dakwaan ‘kewarganegaraan segera’

PAS keluar kenyataan sikap terhadap PasMa hari ini, kata ketua penerangan

PAS mendesak Putrajaya menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat tuduhan "kewarganegaran segera" yang diberikan kepada pendatang asing.

Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, suruhanjaya sama perlu ditubuhkan seperti di Sabah serta mendesak Putrajaya mendedahkan laporan RCI tersebut.

"Di Sabah, mereka belum mendedahkan laporan RCI. Malah sebelum pilihan raya umum tahun lepas, Pakatan Rakyat (PR) juga menggesa RCI itu diluaskan ke semenanjung," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Kuala Lumpur hari ini.

Mahfuz berkata, sindiket membabitkan kumpulan yang memberi "kewarnegaraan segera" ini sudah merebak ke semenanjung.

"Saya menggesa satu lagi RCI ditubuhkan secepat mungkin susulan laporan berita sindiket ini tidak hanya berkembang di Sabah dan Sarawak tetapi seluruh Malaysia,” katanya.

Akhbar Berita Harian minggu lalu melaporkan sindiket ini menawarkan pakej kepada pendatang asing dengan kos RM150, 000 untuk membekalkan pelanggannya dokumen untuk menjadi warganegara.

Laporan itu juga mendedahkan caj RM5,000 dikenakan bagi mendapatkan sijil kelahiran.

Kumpulan itu dikatakan membeli data peribadi warga Malaysia dan menggunakan maklumat tersebut untuk mendapatkan dokumen kepada pendatang asing.

Sejak 46 bulan lalu, 1.8 juta rakyat Malaysia dilaporkan hilang Mykad, menurut Berita Harian.

MyKad dijual kepada pendatang asing pada harga RM15,000 setiap satu.

Laporan RCI Sabah dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong bulan lalu tetapi tidak didedahkan kepada umum. – 9 Julai, 2014.