PAS mahu ketuanan Melayu, Umno mahu hak istimewa, kata Pemuda PAS

PAS mahu ketuanan Melayu, Umno mahu hak istimewa, kata Pemuda PAS

Pemuda PAS hari ini menggariskan lima perkara yang menjadi pertembungan ideologi terbesar di antara parti Islam itu dengan Umno sejak zaman menuntut kemerdekaan lagi.

Satu daripadanya ialah di antara mempertahankan hak ketuanan Melayu yang diperjuangkan PAS dan hak keistimewaan orang Melayu yang dituntut Umno, yang disifatkan Exco Pemuda PAS Dr Fadli Ghani sebagai "banyak merugikan orang Melayu".

"PAS berkeras Melayu mesti ditegaskan hak ketuanannya, tetapi Umno berkata hak istimewa," kata beliau, sambil memberikan perbandingan sebuah rumah.

"Kalau rumah ini rumah kita, tuan mempunyai hak atas rumah. Tetamu hanya dapat hak istimewa tempat yang tuan rumah berikan. Hak istimewa bererti mengecilkan dan menghina orang Melayu," katanya dalam Wacana Kemerdekaan di Universiti Selangor di Shah Alam hari ini.

Perkara kedua, kata Fadli, ialah tentang Islam sebagai agama rasmi.

Katanya, PAS sentiasa mahu Islam dijadikan agama rasmi negara, bukan seperti Umno yang menjadikan Islam agama Persekutuan.

Katanya, apabila Islam disebut sebagai agama Persekutuan dalam Perlembagaan, maka ia secara tidak langsung menjadikan Malaysia sebuah negara sekular.

"PAS berpegang Islam mesti menjadi agama rasmi supaya Islam boleh ditegakkan secara adil.

"Umno berpegang Islam menjadi agama Persekutuan dengan maksud negara ini berpegang kepada keduniaan atau negara sekular," katanya.

Berkenaan merdeka, Fadli berkata PAS dari dahulu mahu kemerdekaan yang dikecapi negara dinikmati sepenuhnya dan bukan dari aspek politik semata-mata.

Katanya, apa yang dihajati Umno hanyalah mengadakan sebuah kerajaan sendiri walaupun ekonomi negara masih ditadbir penjajah.

"PAS bercakap sejak awal, kemerdekaan itu mesti kemerdekaan yang penuh, bukan dari segi politik sahaja, tetapi dari segi ekonomi dan agama.

"Sedangkan Umno bercakap soal berkerajaan sendiri. Maknanya, yang penting boleh jadi kerajaan, walaupun British kawal ladang dan lombong tidak menjadi masalah.

"Yang penting mereka boleh jadi perdana menteri dan memerintah," katanya.

Seperkara lagi yang menjadi pertembungan antara PAS dan Umno menurut Fadli ialah berkaitan kerakyatan yang diberi secara prinsip Jus Soli kepada orang Cina dan India di bawah kontrak sosial pada 1957.

Katanya, paling menyedihkan dalam sejarah lebih 50 tahun kemerdekaan negara ialah Umno didakwa dengan mudah sanggup menjual kerakyatan negara kepada MCA.

Ini berbeza dengan PAS yang mahu seseorang warganegara itu diiktiraf berdasarkan kesetiaan mereka kepada negara dan keinginan menetap di negara ini.

"PAS mengiktiraf imigran bukan Melayu menjadi rakyat dengan syarat kesetiaan. Jika dia setia dan berniat untuk tinggal di sini selama-lamanya, kita boleh terima.

"Sedangkan, Umno menjualnya kepada MCA dengan murah dan menerima kerakyatan berdasarkan tempat kelahiran," kata Fadli.

Beliau berkata semasa zaman menuntut kemerdekaan, PAS memperjuangkan bahawa hala tujunya perlu ditentukan oleh anak bangsa sendiri yang sangat berbeza pendekatan yang digunakan Umno.

Katanya, Umno semasa menuntut kemerdekaan daripada British jelas mengikut telunjuk penjajah apabila membiarkan negara Eropah itu memberikan garis panduan.

"Bekas presiden PAS sebelum ini menggariskan dalam menentukan hala tuju kemerdekaan, mesti anak bangsa yang menentukan bentuk kemerdekaan negara. Kita tentukan. Bukan British tentukan.

"Beliau mengkritik keras Umno yang mengambil pendirian yang disusun oleh British seperti dimulakan dengan pilihan raya bandaran, persekutuan, runding satu persatu dan akhirnya masuk dalam guni British," katanya. – 30 Ogos, 2014.