PAS sokong kebimbangan Dr Mahathir terhadap Iskandar Malaysia

Tindakan atas bekas timbalan presiden PAS jika timbulkan kekeliruan, kata Salahudin

PAS hari ini menyokong kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyuarakan kekhuatiran beliau warga asing akan memenuhi kawasan Iskandar Malaysia dan meminta beliau mengemukakan lebih banyak bukti.

Naib presiden PAS Salahuddin Ayub (gambar) berkata, pihaknya mengharapkan Dr Mahathir dapat memberikan penjelasan lanjut berhubung kenyataannya Iskandar Malaysia tidak memberikan masa depan yang baik untuk rakyat Johor.

"Kebimbangan Dr Mahathir wajar dan membuktikan beliau akan tersenarai sebagai negarawan ulung.

"Beliau perlu terus bersuara supaya isu melibatkan keselamatan negara yang dilanggari dapat beliau berikan buktinya.

"Ini sangat penting kerana Dr Mahathir orang yang paling layak bercakap tentang perkara ini," kata Salahuddin kepada pemberita di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur.

Salahuddin turut mengharapkan bekas perdana menteri itu akan terus memberikan bukti dan tampil di khalayak ramai memperjelaskan tentang perkara itu.

Dr Mahathir sebelum ini berkata, beliau khuatir kawasan Wilayah Iskandar di selatan tanah air akan dimonopoli warga asing berbanding masyarakat tempatan.

Menulis di laman blog miliknya chedet.cc minggu lepas, Dr Mahathir mempersoalkan siapa yang akan memenuhi kawasan pembangunan di Johor Baru itu memandangkan kediaman di kawasan itu bernilai tinggi.

Malah, beliau turut khuatir akan berlakunya insiden seperti di Singapura apabila masyarakat nelayan di sana terpinggir disebabkan migrasi warga asing yang mendadak suatu ketika dahulu.

"Saya mengalu-alukan transformasi di Johor Baru seperti saya alu-alukan transformasi di tempat lain.

"Yang penting ialah Malaysia menjadi negara maju, walaupun ayam di kepok mati kelaparan dan itik di air mati kehausan," kata beliau sinis. – Julai 14, 2014.