PAS tidak benar ahli terlibat keganasan, kata Hadi

PAS hari ini sekali lagi menegaskan ahlinya tidak dibenarkan menyertai kegiatan pengganas di dalam mahu pun luar negara yang melangkaui fiqh jihad.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, PAS juga melarang ahlinya terlibat dalam gerakan yang bercanggah dengan etika berperang dalam Islam.

"Saya ingin tegaskan sekali lagi, PAS tidak mahu dan tidak akan membenarkan ahlinya terlibat dengan mana-mana kumpulan yang bertindak ganas melangkaui fiqh jihad, malah bercanggah dengan etika berperang dalam Islam," katanya.

Berucap menyampaikan ucapan dasar Muktamar Tahunan PAS ke-60 di Batu Pahat, beliau berkata, campur tangan asing juga tidak boleh sekali-kali dibenarkan di bumi umat Islam.

"Biarlah rakyat Syria sendiri yang menentukan masa depan negara mereka tanpa sebarang campur tangan asing.

"Bagi rakyat di Mesir dan Iraq pula, biarlah rakyat mereka di negara masing-masing menentukan masa depan negara tanpa sebarang campur tangan kuasa Barat yang cuba memporak-perandakan negara-negara ini," katanya.

Semalam, delegasi Dewan Ulama PAS Perak memberikan penghormatan kepada bekas ahli PAS, Lotfi Ariffin yang terbunuh dalam pertempuran di Syria dan mengiktiraf pejuang militan itu sebagai mati syahid.

Penghormatan itu dilakukan di akhir ucapan, apabila Norazli Musa meminta semua delegasi perwakilan sayap bertafakur bagi mendoakan Lotfi yang pernah menjadi ketua penerangan Pemuda PAS Kedah.

"Marilah kita mendoakan Ustaz Lotfi," katanya kepada hadirin sebelum mengetuai bacaan Al-Fatihah untuk Lotfi yang juga bekas ahli Dewan Ulama PAS yang dipecat keahliannya ekoran pengakuannya menyertai kumpulan militan itu.

Ahli Pemuda PAS juga mengutip derma dari muktamar semalam untuk disumbangkan kepada keluarga Lotfi.

Sebelum ini PAS menyatakan pendirian tidak menyokong ahlinya menyertai perang saudara di Syria namun kematian Lotfi minggu lalu menyaksikan ramai yang menyatakan kesedihan di laman sosial Facebook.

Parti itu juga bertindak menjarakkan diri daripada kumpulan ekstremis Islam yang menyertai militan di Syria bagi menentang presiden negara itu, Bashar al-Assad.

PAS dalam kenyataannya sebelum ini menegaskan tidak akan mengiktiraf mana-mana perjuangan militan untuk mencapai sasaran sebaliknya percaya ia harus dilakukan melalui proses demokrasi.

Bagaimanapun, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan anak kepada Mursyidul Am PAS, Nik Abduh Nik Abdul Aziz membuat kenyataan kontroversi mengatakan Lotfi mati dalam keadaan syahid.

Lotfi sebelum itu koma selepas kumpulannya diserang di Syria. – 18 September, 2014.