PAS umum calon PRK Pengkalan Kubor 11 September

I’ll only explain to PAS president, Mat Sabu says of plot claims against Hadi

Walaupun masih belum dimuktamadkan, PAS malam tadi mula mencanangkan kepada pengundi di Pengkalan Kubor parti itu bakal meletakkan calon mereka pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan pada 25 September ini.

Sebelum majlis ceramah dimulakan, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu merasmikan Markas Besar PRK PAS di Tumpat. Turut hadir Ahli Parlimen Tumpat Datuk Kamaruddin Jaafar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kelaboran Mohd Zaki Ibrahim.

Mohamad ketika ditemui selepas itu berkata parti akan mengumumkan calon mereka yang bakal bertanding di DUN itu pada 11 September iaitu sehari selepas Barisan Nasional (BN) mengumumkan calonnya.

Beliau bagaimanapun berkata PAS akan mengadakan rundingan dengan PKR untuk memuktamadkan parti manakah yang bakal bertanding pada PRK DUN itu.

"Apa saja keputusan nanti kita terima walaupun PAS memang berhasrat bertanding di DUN ini," katanya dan menambah parti itu akan akur keputusan pucuk pimpinan pakatan pembangkang nanti.

Ketika berceramah, Kamaruddin yang merupakan yang dipertua PAS Bahagian Tumpat berkata PAS mendapat sokongan akar umbi yang mahukan parti itu bertanding bagi menggantikan PKR yang sebelum ini beberapa kali kalah di tangan BN pada beberapa pilihan raya umum yang lalu.

Beliau berkata, PAS perlu mengambil semula DUN berkenaan bagi melengkapkan kemenangan di semua 4 DUN dalam kawasan Parlimen Tumpat.

Selain DUN Pengkalan Kubor, tiga lagi DUN dalam Parlimen itu ialah Pasir Pekan yang diwakili Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob, Wakaf Baharu (Exco PAS Kelantan Datuk Che Abdullah Mat Nawi) dan Kelaboran (Mohd Zaki).

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Noor Zahidi Omar, 57, daripada BN, akibat kanser hati di sebuah hospital di Guangzhou, China, pada 20 Ogos lepas.

Pada pilihan raya umum lepas, allahyarham yang mewakili BN mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 13 September ini sebagai tarikh penamaan calon manakala hari pengundian pada 25 September. – Bernama, 6 September, 2014.