Pasangan warga Malaysia ditahan di Sweden, empat anak mahu kembali ke tanah air

Empat anak pasangan warga Malaysia yang kini berada bersama keluarga angkat di Sweden tidak selesa dan mahu pulang ke Malaysia.

Pasangan Azizul Raheem Awalludin dan isterinya, Shalwati Nurshal kini ditahan pihak berkuasa Sweden kerana dituduh mendera salah seorang anaknya.

Azizul, pengarah Tourism Malaysia di Stockholm dan Shalwati guru sekolah menengah yang bercuti tanpa gaji dilaporkan mendera anak lelakinya berusia 12 tahun kerana tidak menunaikan solat.

Empat anak pasangan itu kini berada dalam jagaan keluarga angkat bukan Islam dan mengadu rindukan ibu bapa mereka.

Bernama melaporkan anak sulung kepada pasangan itu, Aisyah, 14, berkata dia bersama tiga adik berusia 12, 11 dan 7, tidak selesa tinggal bersama keluarga angkat.

“Mereka memelihara anjing dan memasak makanan tidak halal. Meskipun mereka memberi kami makanan halal tetapi kami berkongsi pinggan mangkuk dan perkakas dapur.

“Pihak berkuasa Sweden tidak membenarkan kami bertemu saudara-mara yang terbang dari Malaysia untuk berjumpa kami,” katanya.

Ammar adik kepada Aishah berkata: “Saya rindukan mak dan ayah. Kami nak pulang ke Malaysia tetapi mereka tak benarkan.

“Kami sedih setiap kali pulang dari sekolah kerana mak dan ayah tidak ada bersama,” katanya kepada Bernama.

Akhbar berbahasa Inggeris, The Star memetik sumber terdekat kepada pasangan tersebut berkata, Azizul dan isteri sudah meminta pihak berkuasa Sweden agar memindahkan anaknya kepada keluarga angkat lain.

“Azizul dan Shalwati juga merayu kepada pihak berkuasa Sweden agar anak mereka ditempatkan di bawah jagaan sementara kedutaan Malaysia di Stockholm,” menurut laporan itu.

Sehingga ke hari ini, tiada pertuduhan dikemukakan terhadap Azizul dan isteri malah mereka tidak dibenarkan berjumpa anak.

Pasangan suami isteri itu yang berusia dalam lingkungan 40-an ditahan 18 Disember lalu dan reman mereka dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi pada Khamis.

Azizul dan isteri akan ditahan sehingga perbicaraan selesai kerana Sweden tidak mengamalkan sistem ikat jamin.

Azizul bekerja di Sweden sejak tiga tahun lalu dan berkhidmat dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan sejak 2000.

The Star melaporkan di bawah undang-undang Sweden, jika Azizul dan isteri didapati tidak bersalah sekali pun, mereka masih kehilangan hak penjagaan anak.

Bagi mendapatkan hak penjagaan semula, pasangan itu perlu memohon kepada mahkamah.

Namun, jika pasangan itu didapati bersalah, mereka akan berdepan penjara mandatori sekurang-kurangnya 9 bulan.

Putrajaya menghantar pegawainya ke Sweden bagi mendapat perkembangan terkini berhubung isu berkenaan namun masih belum menunjukkan petanda positif. - 18 Januari, 2014.