Pasukan Khas Malaysia MH17 tunggu zon genjatan senjata diwujudkan

Pasukan Siasatan Khas MH17 sedang menunggu pihak Ukraine dan puak pemisah mewujudkan zon genjatan senjata bagi membolehkan siasatan di kawasan nahas diteruskan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar (gambar) berkata sehingga kini keadaan di sana masih belum selamat dan pasukan siasatan khas belum dapat memasuki kawasan berkenaan.

"Kita masih tidak dapat memastikan bila zon tersebut dapat diwujudkan dan kita menunggu persetujuan dari Ukraine dan juga pihak pemisah," katanya kepada pemberita selepas majlis serah terima tugas Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) di Kuala Lumpur hari ini.

Pengarah JPJKK Datuk Ayub Yaakob menyerah tugas kepada Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd.

Khalid berkata JPJKK secara rasmi telah diterima sebagai peserta Lembaga Siasatan Kes Jenayah Terhadap MH17, bersama-sama dengan polis antarabangsa.

"Kami juga telah menempatkan dua pegawai polis, masing-masing di Kiev dan di Amsterdam untuk memantau semua pekembangan di kawasan itu," kata Khalid.

Polis sebelum ini terpaksa menarik balik petugas pasukan khas di Ukraine kerana ancaman keselamatan ekoran pihak tentera sedang berkumpul di kawasan berkenaan dan boleh berperang bila-bila masa.

Seramai 43 warga Malaysia berada di dalam pesawat Malaysia Airlines MH17 yang terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dengan membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal.

Pesawat Boeing 777-200 itu dipercayai ditembak jatuh di negara bergolak itu. – Bernama, 22 Ogos, 2014.