Paul Low ‘buta’ penggunaan Akta Hasutan sebagai senjata politik, kata DAP

Paul Low ‘buta’ penggunaan Akta Hasutan sebagai senjata politik, kata DAP

DAP hari ini membidas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low kerana mempertahankan penggunaan Akta Hasutan, mengatakan beliau "buta" dan "tidak berperasaan" kerana gagal melihat yang ia digunakan sebagai senjata politik tehadap mereka yang menentang Barisan Nasional.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, Low yang merupakan bekas presiden Transparency Malaysia, sudah berubah daripada seorang aktivis masyarakat kepada seorang yang sama sahaja seperti ahli politik Umno-BN.

"Low lebih teruk berbanding rakan sekerjanya yang bukan ahli politik, Datuk Seri Idris Jala, yang menyuarakan bantahan terbuka terhadap Akta Hasutan namun tidak berani menyatakan bantahan dalam mesyuarat Kabinet," kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Low, yang dilantik menteri di Jabatan Perdana Menteri bertanggungjawab hal-ehwal integriti tahun lepas, semalam mempertahankan akta itu dengan mengatakan tindakan mendakwa beberapa individu baru-baru ini ialah bagi mengelak kemungkinan berlaku kekacauan di negara ini.

Beliau juga menafikan dakwaan Putrajaya cuba menakut-nakutkan atau menghalang rakyat daripada bersikap kritikal terhadap kerajaan dan mengadakan keadilan sosial itu perlu dan mereka yang melanggar undang-undang mesti dikenakan hukuman.

Bagaimanapun, Lim bertanya, "Bagaimana Low boleh bersikap begitu buta, tidak berperasaan dan tidak bertanggungjawab untuk melihat yang akta itu digunakan sebagai senjata politik tehadap mereka yang menentang BN dan yang mahu dihapuskan oleh BN?"

"Sikap double-standard dan pendakwaan terpilih Peguam Negara menjangkau bukan sahaja pemimpin Pakatan Rakyat (PR) dan wakil rakyatnya, malah juga turut melibatkan ahli akademik dan pensyarah fakulti undang-undang terbaik di negara ini yang bukan seorang ahli politik; yang dikecam hebat oleh semua organisasi hak asasi manusia."

Lim, yang juga ketua menteri Pulau Pinang, menyentuh insiden ekstrem dan berbaur perkauman seperti gesaan membakar Bible berbahasa Melayu dan menampar ahli Parlimen pembangkang serta memancung kepala pemimpin PR yang tidak pula didakwa menghasut.

"DAP kesal dengan transformasi Low daripada ‘Dr Jekyll’ menjadi ‘Mr Hyde’ dengan mengubah pendiriannya daripada menentang kini menyokong akta itu sebagai suatu langkah oportunis yang keji dan terancang demi kekal menikmati faedah dan kelebihan menjadi seorang menteri.

"Beliau kini tidak lagi dipandu dorongan moral atau idealisme tentang kebebasan bersuara, yang kini dianggapnya berbahaya; tetapi menumpukan kepada usaha mengehadkan kebenaran berbanding mengawal kebatilan," tambah Lim.

Katanya, yang paling berbentuk tirani dan penindasan ialah siasatan yang dilakukan terhadap Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana ucapan yang dibuatnya tiga tahun lepas.

"BN bukan sahaja tidak menghiraukan mandat majoriti 52% yang diberikan kepada PR, tetapi juga berusaha sehabis mampu untuk menamatkan kerjaya politik ketua pembangkang Parlimen Malaysia.

"Low kini sebahagian daripada masalah, dan bukan sebahagian daripada penyelesaian yang dijanjikan." – 26 September, 2014.