Advertisement

Pelajar meninggal dunia selepas pengsan di sekolah

Polis Johor jumpa syarikat keselamatan susulan kejadian amuk

Seorang pelajar lelaki meninggal dunia selepas pengsan ketika sedang berbaris untuk masuk ke kelasnya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lunas, di Kulim hari ini.

Wong Ding Wei, 17, yang segera dikejarkan ke Hospital Kulim (HK) sebaik kejadian, disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 8.30 pagi.

Menurut bapanya, Wong Thean An, 43, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh seorang guru yang datang ke rumahnya kira-kira pukul 8 pagi, sebelum bergegas ke HK untuk melihat keadaan anak bongsu daripada dua beradik itu di wad kecemasan.

"Semasa tiba di situ, saya dapati jantung anak saya sudah tidak berdenyut lagi. Doktor kemudian memaklumkan anak saya disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan," katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik HK, di Kulim.

Wong berkata, anaknya itu sebelum ini tidak pernah mengalami sebarang masalah kesihatan.

Sementara itu, Pengetua SMK Lunas, Subberi Ramli berkata, sebelum kejadian pelajar terbabit telah menyertai perhimpunan pagi di sekolah berkenaan.

Katanya, berdasarkan makluman pelajar lain, Ding Wei tiba-tiba mengalami kekejangan otot sebelum jatuh pengsan di atas lantai semasa berbaris untuk pulang ke kelasnya.

"Rakan-rakannya kemudian memaklumkan kepada guru untuk bantuan. Dia dihantar ke hospital dengan menggunakan ambulans dan pada masa itu, jantungnya masih berdenyut," katanya.

Subberi berkata beberapa hari sebelum kejadian, pelajar berkenaan ada memaklumkan kepada rakan-rakannya bahawa dia mengalami keletihan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Supt Ghuzlan Saleh ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan pihaknya masih belum menerima laporan bedah siasat.

Beliau berkata polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut. – Bernama, 16 April, 2014.