Pemilihan Umno: Hanya naib presiden dan MT dipertandingkan

Perlumbaan sebenar dalam pemilihan Umno tahun ini ialah bagi tiga kerusi naib presiden dan tempat dalam majlis tertinggi (MT) manakala dua jawatan tertinggi hampir pasti dikekalkan oleh Presiden parti, Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ramai pihak dalaman parti memeriahkan pertandingan untuk merebut jawatan dalam pemilihan parti kali ini ialah bagi memastikan dalam tempoh tiga tahun lagi iaitu ketika pemilihan Umno sekali lagi kelak akan menawarkan kepimpinan baru sebelum pilihan raya umum ke-14.

“Semua orang bersedia untuk perubahan kepimpinan dalam pemilihan akan datang, jadi mereka perlu bersedia meletakkan diri dalam jawatan sekarang pada pemilihan kali ini,” kata seorang `warlord’ Umno kepada The Malaysian Insider di Kuala Lumpur.

Penamaan calon bagi pelbagai jawatan ialah pada 28 September sementara pemilihan parti ditetapkan pada 19 Oktober. Perhimpunan agung dijangka berlangsung pada awal Disember.

“Najib dan Muhyiddin mungkin akan kekal untuk pilihan raya umum akan datang tetapi selepas itu, ia akan diambil alih oleh naib-naib presiden dan ahli MT untuk menentukan parti,” katanya.

Seorang lagi `warlord’ berkata, keadaan itu terserlah dalam cabaran terhadap tiga penyandang naib presiden – Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Shafie Apdal – yang sudah memberikan pengesahan bahawa mereka akan mempertahankan jawatan masing-masing dan mula membentuk gabungan.

Pencabar mereka ialah Tan Sri Isa Abdul Samad (gambar), Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Datuk Seri Musa Aman, seorang lagi yang masih belum terbuka mengisytiharkan pencalonannya.

Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir juga dikatakan sedang mempertimbangkan pilihannya dalam perebutan jawatan naib presiden di mana hampir 150,000 ahli dijangka mengundi bagi jawatan tertinggi parti, berikutan pindaan pengundian.

Sebelum pemilihan tahun ini dan pindaan dalam perlembagaannya pada 2009, hanya kira-kira 2,500 perwakilan mempunyai hak mengundi.

Hishammuddin berkata, gabungan adalah sebahagian daripada peningkatan kesedaran ahli untuk mengukuhkan Umno dengan berganding bahu untuk meletakkan kepentingan parti di atas kepentingan individu.

“Sebagai naib presiden Umno, kerjasama di antara saya, Zahid dan Shafie selalunya sangat rapat. Jika ia memberi manfaat kepada parti, maka ia patut diteruskan,” katanya.

Membentuk gabungan membolehkan calon untuk memberi kelebihan kepada satu sama lain daripada segi kekuatan dan sokongan, tetapi ia tidak memberi jaminan mereka akan menang.

Setiausaha Umno Kedah, Datuk Othman Aziz, berkata menjadi sebahagian daripada kumpulan tertentu tidak menjamin kemenangan kerana ahli mencari pemimpin yang berwawasan dan boleh dipercayai untuk membawa parti ke fasa seterusnya.

“Perwakilan sekarang lebih bijak. Saya tidak fikir mereka akan mengundi mengikut blok atau kumpulan. Malah, mereka akan melihat individu yang berjasa yang boleh memastikan kelangsungan parti dalam pilihan raya akan datang dan masa depan,” katanya.

Daripada semua enam calon, pemerhati parti mendapati Ahmad Zahid mungkin akan kekal kerana popularitinya di akar umbi dan dua lagi rakan penyandangnya berharap keadaan itu akan membawa mereka bersama.

Bagaimanapun, Isa dan Mohd Ali tidak patut dipandang remeh kerana di sebalik mempunyai `beban’, kedua-duanya disenangi ramai kerana sikap peramah dan merendah diri mereka.

Isa didapati bersalah dan digantung kerana kesalahan politik wang pada 2005 manakala Mohd Ali dilarang bertanding pada 2009 selepas didapati mencemar peraturan pemilihan parti.

Sejak dilantik sebagai penerusi Felda dua tahun lalu, Isa bekerja keras membantu peneroka Felda yang secara tidak langsung berjaya memberi undi kepada Umno dan seterusnya kepada Isa juga.

Mohd Ali, yang juga bekas naib presiden dari 2004 hingga 2009, mungkin mendapat `undi simpati’ kerana tewas di kerusi parlimen Bukit Katil kepada PKR pada pilihan raya lalu.

“Memang boleh calon bergabung dan menjadi pasukan, tetapi nampaknya penyandang mempunyai peluang lebih cerah daripada pencabar jika keputusan PRU13 tidak diambil kira,” kata Penganalisis Politik UiTM, Dr Arnold Puyok. – 6 September, 2013.