Pemuda PKR gesa Najib hentikan ‘Langkah Akta Hasutan’

Pemuda PKR hari ini menggesa kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak menghentikan serangan “Langkah Akta Hasutan” sekaligus mengugurkan semua dakwaan yang dikenakan termasuk kepada ahli akademik Dr Aziz Bari.

Naib ketuanya Fahmi Fadzil (gambar) berkata, parti itu mengutuk sekeras-kerasnya pendakwaan Aziz yang dikenakan tuduhan sama seperti pensyarah undang-undang Universiti Malaya (UM) Profesor Madya Dr Azmi Shahrom.

Katanya, penahanan itu menyaksikan perkembangan tidak sihat yang bertujuan mengekang kebebasan bersuara dan berfikir ahli akademik.

"Walaupun saya tidak terkejut dengan perkembangan ini, ia tetap merupakan perkembangan tidak sihat di mana Aziz merupakan ahli akademik kedua disiasat di bawah Akta Hasutan 1948.

"Akta kuku besi buatan penjajah British ini makin kerap digunapakai pentadbiran Najib untuk mengongkong kebebasan bersuara dan kebebasan berfikir para akademik di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, tindakan mengenakan Akta Hasutan seperti satu isyarat daripada perdana menteri ditujukan kepada mereka yang tidak sehaluan dengannya.

"Ia merupakan langkah tidak baik bukan sahaja untuk golongan akademik dan mahasiswa, tetapi untuk seluruh rakyat Malaysia," kata Fahmi.

Aziz berkata hari ini beliau menerima panggilan daripada polis mengarahkannya hadir di Balai Polis Sabak Bernam pada 11 pagi esok untuk direkodkan kenyataan.

Hampir 100 laporan polis dibuat terhadapnya ekoran kenyataannya dalam forum itu seperti disiarkan melalui dua artikel berita di The Malaysian Insider.

Artikel berkenaan, "Sultan Selangor terikat Deklarasi 1992, perlu lantik Wan Azizah, kata Aziz Bari" disiarkan pada 1 September dan "Only God, not Sultan, has absolute powers, says legal expert" disiarkan pada 9 September lalu.

Justeru, Fahmi menegaskan Pemuda PKR akan bersama untuk menyokong profesor undang-undang dan Perlembagaan itu.

"Pemuda PKR menyokong dan berdiri bersama Aziz. Kami tabik keberanian beliau melontarkan pandangan yang mungkin tidak disenangi pemerintah.

"Dan kami hormati pendirian beliau bersuara bukan sahaja sebagai seorang ahli akademik yang mendidik anak muda masa depan negara tetapi juga sebagai seorang pakar Perlembagaan yang mana buah fikiran beliau amat diperlukan demi memahami dan mempertahankan kedaulatan undang-undang," katanya.

Selain itu, Fahmi juga turut menggesa Peguam Negara Tan Sri Gani Patail memaklumkan status terkini kajian semula terhadap kes pendakwaan di bawah Akta Hasutan. – 30 September, 2014.