Pendakwa sensasikan hujah untuk TV3, Utusan, kata Anwar

Anwar tidak setuju Sisters in Islam diharamkan

Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata pihak pendakwaan dalam rayuan liwatnya sengaja mensensasikan hujah di Mahkamah Persekutuan untuk media pro kerajaan.

Bercakap di akhir sesi mahkamah, Anwar berkata, ketua pendakwa Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengaitkan hal sensasi dalam hujahnya supaya akhbar pro-kerajaan dapat memainkan isu berkenaan.

"Timbalan Pendakwa Raya memetik perkara sensasi dalam hujahnya untuk Utusan dan TV3," katanya selepas meninggalkan mahkamah yang masuk hari keempat perbicaraan.

Shafee seharusnya menjawab isu fakta yang dibangkitkan pihak pembelaan, kata Anwar.

"Pasukan pembelaan melakukan tugas yang mengagumkan terutamanya mewujudkan keraguan munasabah," katanya.

Shafee, yang mewakili Umno dalam beberapa kes, dilantik kerajaan mengetuai pasukan pendakwaan.

Dalam hujahnya hari ini, Shafee menceritakan bagaimana Anwar dituduh meliwat pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Beliau turut menggunakan perkataan yang didakwa digunakan Anwar kepada Saiful dalam nada seksual.

Sementara itu, Shafee berkata 20% hingga 30% hujah pendakwaan hari ini selesai dan fakta kes dirujuk dalam konteks yang betul.

"Ini dilakukan sebagaimana tuduhan liwat itu berlaku," katanya kepada wartawan di luar mahkamah.

Shafee yang diberikan lesen sementara oleh Peguam Negara untuk membuat pendakwaan kes ini berkata, beliau turut membawa isu sampel di mahkamah yang sebelum ini dipertikaikan pembelaan.

Shafee berkata teori konspirasi yang diketengahkan pihak pembelaan tidak masuk akal.

Katanya, Umno, media, doktor perubatan kerajaan, dua ahli kimia dan hakim diheret ke dalam dakwaan konspirasi Anwar apabila kenyataan kepada mahkamah diberikan.

Shafee berkata kepada mahkamah pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan menerima gangguan seksual yang membawa kepada liwat.

"Jika wanita boleh dilindungi, kenapa tidak lelaki," katanya.

Shafee berkata isu kredibiliti pengadu akan dibahaskan pada Isnin dan hal lain yang dibangkitkan pembelaan.

Panel hakim yang diketuai Tun Arifin Zakaria turut memanjangkan sesi perbicaraan sehingga Selasa. – 31 Oktober, 2014.