Pendapatan 4 angka tidak cukup bagi rakyat Malaysia

Keadaan ekonomi mungkin berkembang di luar jangkaan, namun bagi rakyat Malaysia berpendapatan RM2,500 ke bawah sebulan, tidak banyak yang boleh mereka harapkan bagi kehidupan yang lebih baik.

Contohnya seperti Ojaran Fakharurrazi Omar, 37, penghantar barang kilang biokimia di George Town, Pulau Pinang. Dia dan isterinya hanya memperoleh RM2,000 sebulan.

Menurut Majlis Penasihat Ekonomi Negara, mereka membentuk "kelas pertengahan 40%" daripada rakyat Malaysia yang bekerja makan gaji, iaitu berpendapatan antara RM1,222 dan RM2,957 sebulan, berdasarkan kajian dari 1990 hingga 2008.

Keluarga mereka sukar mencukupkan segala barang keperluan mereka setiap bulan. Untuk menambah pendapatan mereka, isteri Ojaran bekerja sebagai pengasuh dan menjaga anak jiran tetangga.

"Saya cuba cari duit lebih dengan bekerja lebih masa jika ditawarkan syarikat. Bos bayar tunai kalau kerja lebih masa.

"Tetapi bukan selalu ada. Pekerja lain pun mahu kerja lebih masa juga," kata Ojaran di kediamannya di Taman Tun Sardon.

"Saya buat juga kerja-kerja lain, kadang-kala bantu rakan pindah barang... kadang-kala bantu jiran yang berniaga di gerai.

"Saya terima RM50 atau berapa sahaja yang mereka boleh beri, bergantung kepada kerja yang dibuat. Kadang ada kerja, kadang tidak," katanya.

Perbelanjaan terbesarnya setiap bulan ialah RM410 bayaran ansuran rumah flat kos rendah yang didiaminya bersama isteri dan dua anak mereka.

Ini diikuti perbelanjaan untuk minyak kereta dan motorsikalnya yang mencecah sehingga RM200 sebulan. Selebihnya ialah untuk makanan, bil utiliti dan persekolahan anak sulungnya.

Dan sudah tentu, keluarga itu terpaksa sangat memilih dalam memenuhi setiap keperluan mereka.

"Makanan seperti daging, beras dan keperluan lain seperti minyak masak semakin mahal. Gaji saya kecil, keluarga saya merasainya.

"Kami berhati-hati dalam membeli, termasuk makanan. Kami jarang makan di luar kerana mahal. Kalau keluar, kena memandu, itu bermakna menggunakan minyak dan berbelanja lebih. Kami selalu makan di rumah sahaja."

Ojaran juga sering mengusahakan bantuan yang boleh diterima keluarganya.

"Saya mohon zakat sekali setahun ketika Hari Raya. Itu sangat membantu.

"Anak-anak pun terima kupon membeli barangan daripada organisasi yang buat kerja amal. Disebabkan duit yang terhad, kami terima apa saja pemberian termasuk barangan terpakai untuk anak-anak."

Pada penghujung bulan, biasanya hampir tiada yang tinggal dalam simpanan untuk kecemasan.

"Pendapatan saya tidak cukup untuk menyimpan. Saya turut beri ibu bapa saya RM100 setiap bulan.

"Mereka pun perlu ditolong kerana menjaga tujuh cucu di Balik Pulau. Kakak saya janda dan tinggal bersama mereka. Duit memang sukar bagi mereka juga." – 1 September, 2014.