Advertisement

Penduduk berbaju sejuk berikutan suhu rendah di Kuala Krai

Penduduk berbaju sejuk berikutan suhu rendah di Kuala Krai

Suhu serendah 17 darjah Celsius yang direkod di Kuala Krai sejak Rabu lepas menyebabkan penduduk terpaksa memakai baju sejuk bagi memanaskan badan.

Tinjauan Bernama di dua tempat beriadah popular iaitu Taman Tasik Kuala Krai dan Taman Cinta Wangsa, mendapati ramai penduduk melakukan aktiviti riadah lebih lewat daripada kebiasaan berikutan kabus tebal yang menyelubungi kawasan itu.

Penjawat awam, Mohd Baihaqi Che Man, 28, berkata beliau kini bersenam sekitar 8 pagi berbanding pukul 7 minggu sebelumnya.

"Ini kerana cuaca yang sejuk menyebabkan kabus tebal dan jarak penglihatan menjadi kurang. Saya mengambil keputusan untuk keluar berjoging lewat sedikit pada hari ini kerana bimbang dirempuh kenderaan.

"Selain itu, saya terpaksa memakai tiga lapis baju, termasuk baju sejuk, kerana suhu yang lebih sejuk berbanding minggu lepas," katanya.

Seorang guru, Abd Aziz Daud, 42, dari Sungai Pas pula menyifatkan keadaan suhu yang rendah di kawasan pedalaman itu adalah luar biasa dan ada murid terpaksa memakai baju sejuk walaupun pada waktu tengah hari.

"Bukan sahaja murid malah guru sendiripun ada yang memakai baju sejuk kerana tak tahan dengan keadaan itu.

"Bagaimanapun, murid masih datang ke sekolah seperti biasa dan kehadiran tidak terjejas walaupun keadaan suhu yang rendah di kawasan pedalaman," katanya.

Seorang lagi penjawat awam, Norazita Ismail, 36, dari Guchil 3, berkata beliau terpaksa mandi menggunakan air panas sebelum ke tempat kerja.

"Nak sentuh air pun saya rasa takut, terutama ketika hendak solat Subuh. Air terlalu sejuk... terasa seperti menyentuh ais pada waktu pagi ketika nak berwuduk.

"Mujur kereta tak meragam dan dapat dihidupkan seperti biasa walaupun keadaan sejuk pada waktu pagi. Pukul 9.30 pagi pun masih berkabus," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Kelantan Datuk Ahmad Razin Ahmad Maher berkata walaupun fenomena suhu rendah berlaku di negeri ini sejak Rabu lepas, tiada sebarang masalah kesihatan dilapor sehingga kini.

Portal rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia pada Rabu lepas melaporkan Kuala Krai mencatat suhu kedua paling rendah iaitu 17.2 darjah Celsius selepas Cameron Highlands (12 darjah Celsius).

Suhu di Kuala Krai hari ini ialah minimum 19.1 darjah Celsius dan maksimum 29.2 darjah Celsius manakala di Kota Baru pula, minimum 21 darjah Celsius dan maksimum 27.9 darjah Celsius.

Fenomena suhu sejuk itu berpunca daripada luruan udara sejuk dari Tanah Besar China yang bergerak ke Laut China Selatan, dan keadaan itu biasa terjadi ketika Monsun Timur Laut. – Bernama, 24 Januari, 2014.