PENEBAT KILAT RUNTUH: OPERASI CARI DAN KESAN MANGSA TERTIMBUS DIHENTIKAN

GEORGE TOWN, 17 Jun (Bernama) -- Operasi mencari dan mengesan mangsa yang

dikhuatiri tertimbus dalam kejadian penebat kilat jatuh dan menghempap jalan di

Jalan Macalister di sini Khamis lepas, dihentikan pada pukul 8 pagi hari ini.

Ketua operasi Datuk Lim Kok Khong berkata keputusan itu diambil kerana pihak

berkuasa bimbang operasi menggali yang berterusan akan menjejaskan struktur

bangunan warisan di situ.

"Operasi ini dihentikan terus dan lubang sedalam lapan meter yang digali itu

akan ditimbus. Ini kerana kawasan ini tanahnya lembut dan berselut,

menjadikannya mudah terhakis dan mendap," katanya kepada pemberita, di sini.

Semalam, lubang asal sedalam lima meter digali sedalam tiga meter lagi untuk

mengesan penjual nasi lemak Lim Chin Aik, 44, yang dikhuatiri tertimbus di

kawasan runtuhan berkenaan.

Mengulas lanjut, Lim yang merupakan bekas Pengerusi Institut Jurutera

Malaysia Pulau Pinang, berkata pihaknya akan melakukan kerja menstabilkan

struktur tanah di kawasan lubang itu bagi mengelak hakisan.

-- LAGI

OPERASI-HENTI 2 GEORGE TOWN

"Selepas kerja-kerja menstabilkan tanah selesai barulah pihak yang terbabit

seperti Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Indah Water Konsortium

(IWK), dan syarikat telekomunikasi akan menjalankan tugas masing-masing untuk

memulihkan semua kemudahan infrastruktur," katanya.

Dalam kejadian petang Khamis lepas, seorang lelaki maut selepas kenderaannya

dihempap struktur penebat kilat di atas Menara Umno itu yang jatuh akibat ribut

kencang.

Sehari selepas itu, seorang wanita Lee Chai Song membuat laporan akan

kehilangan suaminya dan khuatir lelaki berkenaan turut terbabit dalam insiden

tersebut.

Susulan itu, pihak berkuasa memulakan usaha mencari dan mengesan Chin Aik

dan pada Sabtu Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi mengesahkan

nombor casis kereta yang ditemui terbenam di kawasan runtuhan penebat sepadan

dengan kereta milik Chin Aik.

Lewat petang semalam, pasukan mencari dan menyelamat menemui tiga tayar

kereta termasuk tayar simpanan.

-- LAGI

OPERASI-HENTI 3 (AKHIR) GEORGE TOWN

Chin Aik yang memandu kereta jenis Honda City berwarna kelabu dikatakan

keluar dari rumah untuk mengambil anak perempuan bongsunya dari Penang Chinese

Girl''s High School di Jalan Gottlieb pada pukul 6.30 petang.

Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng meminta pemilik

bangunan Menara Umno agar menurunkan saki-baki struktur penebat kilat yang masih

tergantung pada bangunan secepat mungkin.

Langkah itu demi menjaga keselamatan orang ramai kerana jalan ini akan

dibuka semula kepada lalu lintas dalam masa terdekat, katanya kepada pemberita

semasa meninjau lokasi kejadian hari ini.

-- BERNAMA

SAY3 LIB NM

Loading...