PENEBAT RUNTUH: PBAPP SEDIA DUA LORI TANGKI BEKAL AIR KEPADA PENGGUNA TERJEJAS

GEORGE TOWN, 14 Jun (Bernama) -- Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang

(PBAPP) menyediakan dua lori tangki untuk membekalkan air kepada pengguna di

kawasan yang terjejas akibat kejadian penebat kilat runtuh di Jalan Macalister

di sini semalam.

Eksekutif Kanan Komunikasi Korporat PBAPP Syarifah Nasywa Syed Feisal

berkata buat masa ini pihaknya tidak dapat membaiki paip bawah tanah yang pecah

akibat kejadian itu kerana kerja pembersihan masih dijalankan.

"Keadaan sekarang adalah terkawal. Kita akan cuba sebaik mungkin untuk

menyelesaikan masalah ini. Buat masa ini kita dah bersedia dengan dua buah

lori tangki. Kalau ada masalah, pengguna boleh terus menghubungi pusat panggilan

kami," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata kira-kira 200 pengguna sekitar Datuk Keramat, Kampung Jawa,

Komtar dan Jalan Anson di sini, mengalami gangguan bekalan air akibat kejadian

itu.

Syarifah Nasywa berkata kerja membaik pulih paip itu akan dijalankan

sebaik sahaja pihak berkuasa menyelesaikan kerja pembersihan.

-- LAGI

PBAPP-TANGKI 2 (AKHIR) GEORGE TOWN

Lewat petang semalam, sebuah penebat kilat setinggi 20 meter yang terletak

di atas Menara Umno di Jalan Macalister di sini, runtuh akibat angin

kencang mengakibatkan jalan rosak selain menghempap beberapa kenderaan.

Insiden yang berlaku pada pukul 6.45 petang itu turut menyebabkan Jahir

Sulaiman, 46, maut selepas lori yang dinaikinya bersama rakan sekerja

dihempap penebat kilat berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kabajikan, Masyarakat Penyayang dan

Alam Sekitar negeri Phee Boon Poh berkata pihak berkuasa sedang menunggu

jurutera JKP Sdn Bhd bagi mengalihkan sisa rasuk dari atas bangunan berkenaan.

Katanya beliau tidak membenarkan kerja-kerja pembersihan dijalankan selagi

sisa rasuk di atas bangunan itu tidak dialihkan.

"Kami masih belum pasti bila jalan itu akan dibuka untuk lalu lintas dan

pihak kami sedang berusaha untuk memastikan jalan tersebut dibuka dengan secepat

mungkin," katanya.

Menurutnya pekerja Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), PBAPP, Tenaga

Nasional Bhd, Telekom dan Indah Water Konsortium telah berada di

tempat kejadian sejak pukul 6.30 pagi tadi bagi menjalankan kerja-kerja

pembersihan.

-- BERNAMA

NAW KTK NM

Loading...