Penstrukturan MAS tak lengkap tanpa libatkan operasi dan perniagaan, kata Nur Jazlan

PAC to summon 10 ministries over issues raised in audit report

Pelan 12 perkara diumumkan Khazanah Nasional Bhd bagi penstrukturan semula Malaysia Airlines (MAS) hanya berbentuk kewangan, kata Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Beliau berkata, penstrukturan itu tidak akan lengkap jika tidak diiringi oleh penstrukturan daripada segi operasi dan perniagaan.

"Ia satu tugas berat untuk memulihkan MAS memandangkan situasi pasaran semasa dan persaingan ketika ini," katanya yang merujuk kepada dasar langit terbuka di mana syarikat penerbangan premium boleh keluar masuk ke negara ini dengan bebas.

Dasar ini, kata Nur Jazlan, menyebabkan terdapatnya lebihan tempat duduk penumpang yang ditawarkan oleh pelbagai syarikat penerbangan rantau Asia ini.

Beliau berkata, Khazanah belum mengemukakan butiran bagaimana untuk mengatasi dasar langit terbuka itu yang memberi kesan kebanyakannya terhadap laluan antarabangsa MAS dan merebut kembali pasaran domestik daripada syarikat penerbangan tambang rendah yang kini semakin dominan.

"MAS memerlukan rangkaian laluan domestik untuk menjadi sumber kepada laluan antarabangsa. Penstrukturan tidak boleh hanya ditumpukan kepada kewangan sahaja, tetapi perlu juga terhadap operasi dan perniagaan," katanya.

Nur Jazlan berkata demikian pada sidang akhbar selepas perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Pulai oleh Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Idris Jusoh di Johor Baru hari ini.

Khazanah Nasional, Jumaat mengumumkan pelan pemulihan Malaysia Airlines (MAS) melibatkan kos RM6 bilion yang antara lain membabitkan pengurangan 30% kakitangan dan memberi tumpuan semula kepada laluan serantau yang menguntungkan berbanding destinasi jarak jauh yang mengalami kerugian.

Nur Jazlan berkata pemulihan penuh syarikat penerbangan negara itu mungkin mengambil masa lebih lama daripada tiga tahun, tetapi beliau mengharapkan pemulihan positif akan dapat dilihat dalam tempoh tersebut.

Mengenai rancangan kerajaan untuk menggubal Dasar Penerbangan Nasional beliau berkata dasar itu perlu dilihat secara holistik di mana dalam masa ia digunakan untuk memperkuatkan MAS, ia tidak harus menjejaskan syarikat penerbangan lain yang ada di negara pada masa ini.

"Kalau hendak gunakan undang-undang untuk memperkuatkan MAS sendiri dalam keadaan MAS yang lemah sekarang ini, saya rasa kalau langkah tersebut tidak dirancang dengan baik, ia akan menjejaskan (syarikat) penerbangan lain," katanya.

Beliau berkata dasar itu perlu mempunyai objektif untuk memastikan industri penerbangan negara ini sihat di samping dapat menambah laluan penerbangan di peringkat domestik dan antarabangsa pada harga yang rendah.

Beliau menekankan bahawa masalah MAS bukan masalah 'jenama' akibat daripada tragedi MH370 dan MH17 tetapi prestasi syarikat penerbangan tersebut telah merosot sebelum kejadian itu berlaku.

"Memang ada masalah dalam operasi dan modul perniagaan MAS sendiri. MAS perlu membetulkan balik komponen perniagaan yang tidak efektif dan kompetitif seperti bagaimana nak meningkatkan kecekapan kakitangan, mengadakan rundingan semula kontrak bekalan dan mengatasi masalah kesatuan sekerja," katanya.

Nur Jazlan berpendapat rakyat negara ini yang mahir dalam bidang penerbangan dan mampu memulihkan MAS elok diberikan peluang untuk melakukannya.

"Kalau tidak ada, mungkin kerajaan boleh mempertimbangkan membawa pengurusan luar negara yang mahir dalam bidang penerbangan ataupun mahir dalam bidang pemulihan syarikat penerbangan ini," katanya. – Bernama, 30 Ogos, 2014.