Pensyarah UM Azmi Sharom didakwa menghasut kerana kenyataan krisis Perak

Gerakan bantah pensyarah didakwa mengikut Akta Hasutan

Pensyarah Undang-undang Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr Azmi Sharom hari ini tidak mengaku bersalah dan mahu dibicarakan atas tuduhan menghasut berhubung kenyataannya tentang krisis Perlembagaan Perak.

Beliau didakwa kerana artikel bertajuk "Take Perak crisis route for speedy end to Selangor impasse, Pakatan told" (Ambil jalan krisis Perak, selesaikan segera kebuntuan Selangor, Pakatan diberitahu), dilaporkan sebuah portal berita pada 14 Ogos.

Beliau dikatakan melakukan kesalahan tersebut di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur pada 15 Ogos.

Azmi yang juga presiden Persatuan Kakitangan Universiti Malaya (PKAUM) merupakan ahli akademik pertama didakwa Putrajaya dengan menggunakan akta drakonian yang sudah diguna pakai sejak penjajah British masih menjajah negara satu ketika dahulu.

Azmi yang berumur 45 tahun berdepan dengan dakwaan mengeluarkan kata-kata hasutan yang merupakan kesalahan mengikut Seksyen 4 (1) (b), Akta Hasutan 1948.

Beliau juga didakwa dengan satu lagi dakwaan kerana menerbitkan kenyataan menghasut mengikut Seksyen 4 (1) (c), akta sama.

Kedua-dua kesalahan boleh menyebabkannya dipenjarakan maksimum tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-dua sekali.

Timbalan Pendakwaraya Suhaimi Ibrahim mencadangkan wang jaminan dikenakan RM5,000 dengan seorang penjamin. Peguam Azmi, Gobind Singh Deo mengatakan anak guamnya menerima tawaran itu.

Hakim Mahkamah Sesyen Zainol Rashid Hussain menetapkan tarikh 3 Oktober untuk pendengaran kes.

Azmi menjadi ahli akademik pertama didakwa mengikut Akta Hasutan, yang menurut Putrajaya akan dimansuhkan dan diganti dengan Akta Keharmonian Nasional, kini di peringkat penggubalan.

Dalam masa dua minggu, beberapa pemimpin PR didakwa mengikut akta sama termasuk Rafizi Ramli dan N Surendran dari PKR, Khalid Samad dari PAS dan RSN Rayer dari DAP.

Juga dalam perbicaraan kerana tuduhan menghasut ialah Teresa Kok (DAP) dan Chua Tian Chang (PKR), sementara Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin (PAS) didakwa atas tuduhan membuat fitnah dua tahun lepas.

Kesemua wakil rakyat yang dipilih ini berdepan kemungkinan hilang jawatan mereka jika mahkamah menjatuhkan denda RM2,000 atau lebih atau hukuman penjara sekurang-kurangnya setahun.

Pendakwaan mengikut hasutan semakin menjadi-jadi selepas dua tahun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berjanji untuk meminda Akta Hasutan pada 2012.

Malah, Najib pada Julai 2013 juga mengumumkan janji sama semasa ditemubual syarikat penyiaran antarabangsa, British Broadcasting Corporation (BBC).

Bagaimanapun, sebaliknya yang berlaku apabila lebih ramai ahli politik yang lantang mengkritik pentadbirannya didakwa kerana menghasut.

Dalam kenyataan dua hari lalu, Pejabat Perdana Menteri berkata kerajaan akan meminda Akta Hasutan dan menggantikan dengan Bil Keharmonian Kebangsaan seperti yang dijanjikan tetapi ia masih berada dalam proses draf lagi. – 2 September, 2014.