PENYUSUNAN SEMULA JALAN UTAMA DI BANDAR KUANTAN ELAK KESESAKAN

KUANTAN, 14 Jun (Bernama) -- Masalah kesesakan lalu lintas di Bandar

Kuantan akan cuba diatasi dengan mengubah beberapa jalan utama kepada laluan

sehala.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Muhammad Safian Ismail berkata

laluan sehala itu akan dilaksanakan selama tiga bulan bagi tempoh percubaan yang

bermula pada 22 Julai hingga 21 Okt.

"Majlis Perbandaran Kuantan telah mengadakan kajian lalu lintas bersama

polis, Jabatan Kerja Raya dan Universiti Malaysia Pahang mulai 1 Jan 2011

mengenai masalah itu.

"Hasilnya, mendapati jalan dua hala perlu dijadikan jalan sehala bagi

melancarkan aliran lalu lintas di beberapa jalan utama di bandar Kuantan,"

katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata perubahan itu akan dilaksanakan secara berperingkat dengan

fasa permulaan melibatkan enam jalan utama iaitu Jalan Penjara (sejauh 700

meter), Jalan Wong Ah Jang (500 meter), Jalan Tun Ismail (1.3km), Jalan Beserah

(500 meter), Jalan Teluk Sisek (500 meter) dan Jalan Besar (1km).

Dalam tempoh percubaan katanya, pembahagi jalan, tiang-tiang lampu akan

dikekalkan dan papan tanda jalan serta papan tanda arah akan diperbanyakkan

manakala beberapa lampu isyarat akan ditutup.

Selepas tempoh percubaan MPK akan mendapatkan maklum balas daripada orang

ramai untuk tindakan selanjutnya sama ada sistem laluan itu dikekal atau

dikembalikan kepada asal.

-- BERNAMA

ZAF MS SN

Loading...