Perdana menteri gariskan 3 amanat merdeka

Kebebasan bersuara pemicu ketidaktenteraman awam, kata Utusan Malaysia

Mewariskan sebuah Malaysia yang makmur lagi sejahtera untuk generasi akan datang adalah antara tiga Amanat Merdeka yang digariskan Datuk Seri Najib Razak demi kesinambungan negara bangsa supaya terus gagah bersaing di persada antarabangsa.

Perdana menteri menggariskan:

Amanat Merdeka Pertama: Mengukuhkan solidariti rakyat Malaysia dalam menghadapi pahit getir cabaran, berdepan dengan dugaan, termasuk kebersatuan dalam kesedihan.

Amanat Merdeka Kedua: Memupuk keyakinan bahawa kita mampu mencapai apa jua cita-cita sebagai sebuah negara bangsa jika wujudnya kebersatuan.

Amanat Merdeka Ketiga: Mewariskan sebuah Malaysia yang makmur lagi sejahtera.

Berucap menyampaikan perutusan Hari Kebangsaan ke-57 di Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), beliau berkata mengukuhkan solidariti rakyat ketika kebersatuan dalam kesedihan, sebagai contoh, dalam istiadat penghormatan jenazah tragedi MH17 adalah Istiadat Penghormatan Tertinggi Negara yang tiada pernah diberi kepada orang awam.

Ini merupakan julung kalinya Najib menyampaikan perutusan Hari Kebangsaan secara langsung di hadapan khalayak ramai tanpa rakaman terlebih dahulu seperti amalan biasa.

Ia disiarkan secara langsung oleh radio dan televisyen malam ini. – Bernama, 30 Ogos, 2014.