Advertisement

Perkasa mahu pancung kepala pengkhianat Sultan Selangor

Students speak about extremism, racism and role in national unity

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) memberi amaran akan memancung kepala mana-mana pihak yang masih enggan menghormati kedaulatan Islam dan mengkhianati kedudukan Sultan Selangor sebagai ketua agama negeri.

Yang Dipertua Perkasa Negeri Sembilan Ruslan Kassim berkata, orang Islam kini diuji dengan golongan anti-Islam yang sengaja menimbulkan polemik berhubung isu kalimah Allah dan rampasan Bible berbahasa Melayu dan Iban daripada Persatuan Bible Malaysia (PBM).

"Suara mereka suara Israel, mereka yang anti Islam, minda mereka dicemari dengan musuh Islam.

"Jika kamu tidak tutup mulut kamu daripada terus memperkotak-katikkan Islam, kita akan tutup mulut kamu dan jika kamu mengkhianati Sultan, kita akan pancung kepala kamu.

"Biarkan kamu mati daripada terus menjadi parasit," katanya semasa berucap dalam perhimpunan di depan perkarangan Istana Kayangan di Shah Alam, hari ini.

Yang Dipertua Perkasa Selangor Datuk Abu Bakar Yahya kemudiannya menyerahkan memorandum kepada wakil istana kira-kira pukul 1 tengahari tadi mahu Bible yang dirampas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dijadikan sebagai kes mahkamah.

"Perkasa Selangor juga menyokong penuh titah tuanku supaya isu ini tidak wajar dipolitikkan oleh mana-mana pihak sehingga boleh mengelirukan dan meresahkan masyarakat.

“Mereka yang terlibat secara langsung dengan isu ini seharusnya tidak mengeluarkan kenyataan yang tidak bertanggungjawab sehingga boleh mengeruhkan lagi keadaan.

"Perkasa juga ingin mempertahankan Jais dan Mais (Majlis Agama Islam Selangor) dalam apa jua keadaan, maka sewajarnya badan itu diperkukuhkan lagi dengan undang-undang yang sedia ada agar Mais dan Jais dapat menjalankan tugas dengan lebih tegas dan berkesan," katanya dalam memorandum itu.

Abu Bakar turut menggesa agar empat ahli Parlimen PAS Selangor dikenakan tindakan mengikut Akta Hasutan kerana menganggap kenyataan mereka memberi kesan buruk kepada institusi diraja dan memperkecilkan peranan Jais dan Mais.

"Perkasa menyifatan kenyataan mereka sebagai biadap, tidak sopan dan bersifat kurang ajar dalam konteks budaya Melayu.

"Apatah lagi jika ianya menyentuh peranan dan kuasa Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama Islam negeri," katanya.

Sementara itu, Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali dalam ucapannya berkata, pihaknya akan mempertahankan Jais dan Mais sehingga titisan darah terakhir dan mendakwa kenyataan ahli Parlimen PAS itu mencabar kedudukan Sultan sebagai ketua agama rasmi negeri.

"Saya dah jadi ahli Parlimen lama sejak dulu lagi, jangan biadap.

"Kalau kedudukan kaum ini (Melayu) tak aman jangan harap negara nak aman. Kita nak jamin negara yang kita pertahankan ini selamat dan aman," katanya.

Beliau ketika berucap di hadapan penyokongnya turut bersumpah menafikan NGO yang diketuainya itu mendapat tajaan dana kewangan daripada Putrajaya.

"Terima kasih kerana pengorbanan tuan. Saya berani bersumpah tak terima apa-apa bantuan kecuali ada orang yang memberikan sumbangan.

"Saya berani bersumpah dengan nama Allah satu sen pun tak terima bantuan daripada kerajaan, semuanya daripada poket Perkasa sendiri," katanya.

Kumpulan itu kemudiannya bersurai meninggalkan premis istana kediaman Sultan Selangor secara aman kira-kira 1.10 tengahari tadi sambil diperhatikan 10 anggota polis berseragam yang mengawal keadaan sejak pukul 11 pagi tadi. – 23 Jun, 2014.