Advertisement

Perkhidmatan pengangkutan awam terjejas banjir akan disambung semula

Pahang terjejas kembali, Perak pulih, mangsa di Kelantan dan Johor kekal

Suruhanjaya Pengangkutan Awam (Spad) terus berusaha menyambung semula perkhidmatan pengangkutan awam yang terjejas akibat banjir bagi laluan pantai timur dengan kerjasama pihak berkenaan.

Spad dalam kenyataan berkata bencana banjir menyebabkan infrastruktur terutamanya landasan kereta api mengalami kerosakan teruk serta belum dapat diakses sepenuhnya.

"Masih terlalu awal menyatakan bila perkhidmatan tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sektor pantai timur akan pulih, namun Spad dan KTMB sedang berusaha mengenal pasti kerosakan, seterusnya mengambil langkah sewajarnya untuk membaiki kerosakan tersebut, bagi memastikan proses penyambungan semula perkhidmatan berjalan lancar.

"Memandangkan kerugian ditanggung KTMB menelan jutaan ringgit, Spad akan meneliti segala aspek termasuk saluran sumber dana berpotensi untuk membiayai perbelanjaaan kerosakan tersebut," menurut kenyataan itu hari ini.

Spad berkata perkhidmatan bas ekspres laluan pantai timur pula mula dihentikan pada 24 Disember lepas bagi beberapa laluan dari Kuala Lumpur ke Kota Baru dan dihentikan sepenuhnya pada 26 Disember lepas bagi laluan sama dan Terengganu.

"Bagaimanapun, laluan Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu masih dibuka melalui Seremban dan Muadzam Shah di mana pengusaha bas dibenarkan mengguna laluan alternatif lebih selamat bagi memastikan penumpang sampai ke destinasi dituju," menurut kenyataan itu.

Perkhidmatan bas ekspres di Kelantan dan Terengganu yang terjejas akan disambung semula bergantung kepada keadaan cuaca di setiap laluan terlibat, kata kenyataan itu. – Bernama, 29 Disember, 2014.