Perlawanan Akhir Piala AFF Suzuki: Pusingan Pertama, Singapura lwn. Thailand

Selepas 16 permainan, 43 gol, 4 kad merah kepada pemain, 2 kad merah kepada jurulatih dan begitu banyak peluang yang dicipta oleh semua yang pasukan bersaing dalam Piala AFF Suzuki tahun ini, akhirnya tinggal dua pasukan yang akan bertarung bagi merebut gelaran juara bagi tahun 2012.

Singapura akan menentang Thailand dan pemenangnya bakal dinobatkan sebagai pasukan yang paling cemerlang dalam sejarah kejohanan ini. Kedua-dua pasukan ini pernah tiga kali menjadi juara, dengan kemenangan terakhir dicipta oleh Singapura pada tahun 2007 setelah menewaskan Thailand 3-1 secara agregat.

Sama seperti pada 2007, Singapura bermain dalam perlawanan pertama di laman sendiri. Namun kontroversi tercetus apabila Thailand bertindak keluar padang selama 15 minit sebagai tanda protes terhadap keputusan pengadil memberikan sepakan penalti kepada pihak lawan. Mustaphic Farudin terpaksa menunggu sebelum berjaya menjaringkan gol kemenangan bagi Singapura dengan keputusan 2-1 sebelum melangkah ke perlawanan kedua. 

Dalam perlawanan kedua, keadaan kelihatannya sering memihak kepada Thailand. Namun setelah mendahului menerusi Thonkanya, ayam tambatan Singapura bagi tahun ini – Khairil Amri menyumbat gol penyamaan pada minit ke-81 bagi memastikan trofi kemenangan menjadi milik Singapura.

 Saya menjangkakan pusingan pertama ini bakal mempersembahkan pertarungan yang sengit dan menarik seperti mana perlawanan pusingan pertama kira-kira lima tahun lalu. 

Laluan Singapura ke final bermula dengan begitu baik apabila membenam Malaysia 3-0 dalam  perlawanan pembukaan kumpulan sebelum kecundang dalam perlawanan kedua dengan Indonesia sebelum bangkit dalam gugup untuk meraih kemenangan 4-3 ke atas Laos.  Singapura nyata amat profesional dalam separuh akhir dan prestasi mantap pada pusingan pertama melawan Filipina di Manila bermakna Singa berada dalam situasi meyakinkan untuk meraih kejuaraan dalam pusingan kedua yang berlangsung di laman sendiri. Singapura menguasai perlawanan pusingan kedua itu dan berjaya menyaingi malah mampu menandingi keupayaan fizikal skuad Azkal.  Ini adalah antara perkara utama yang ditegaskan oleh seseorang jurulatih.  Berusahalah untuk mendapatkan hak untuk bermain dan nyata, Singapura telah melakukannya. Ini bermaksud berusaha menyaingi pihak lawan, tidak membiarkan mereka mengalahkan anda. Apabila mampu menyaingi pihak lawan, barulah anda boleh mendapatkan bola dan bermain bersungguh-sungguh.

Mereka melakukannya dengan baik dan secara keseluruhannya, mereka memang berhak untuk menang dan melangkah ke peringkat seterusnya.

 Khairil Amri tampil wira apabila menyumbat gol bagi Singapura pada minit ke-19.  Barisan pertahanan Singa ternyata hebat.  Azkal cuba mengasak namun kesemua serangan tidak menjadi kerana berjaya ditangkis gandingan Baihakki Khaizan dan Safuwan Baharudin yang begitu cemerlan dalam perlawanan ini.  Mereka akan memerlukan kekuatan mental yang sama seperti ketika menentang Thailand dalam perlawanan pusingan pertama.

Shaiful Esah bermain dengan baik di sayap kiri sementara Dan Bennett seperti biasa di sayap kanan turut tidak mengecewakan.  Pujian harus diberikan kepada Bennet yang bakal memperoleh jumlah ‘cap’ terbanyak bagi seseorang pemain Singapura.  Dia akan menerima ‘cap’-nya yang ke-121 sekali gus menyamai rekod Aide Iskandar yang bertahan selama beberapa tahun.

Di bahagian tengah, Mustafic Fahrudin masih bergelut dengan kecederaan yang dialaminya.  Singa  hanya dapat berharap serta berdoa agar dia segera pulih dan dapat kembali beraksi memandangkan sumbangannya dalam kejohanan setakat ini, begitu besar sekali.  Walau bagaimanapun, Isa Halim yang mengambil tempatnya telah menjalankan tugas dengan baik justeru turut memainkan peranan penting  dalam perlawanan ini.

Selain Khairil Amri di barisan hadapan, Sharil Ishak akan sekali lagi diberi kepercayaan sebagai  penyerang bagi Singa. Ketangkasannya berlari tanpa rasa penat dan keupayaannya menelah pergerakan permainan dengan lebih awal membolehkan Singa melancarkan serang balas dengan pantas.  Pada masa sama, dengan pengalaman yang luas dan kehebatan Alexander Duric menguasai bola, tidak mustahil Singa mampu memberikan tentangan yang sengit.

Sebaliknya, Thailand menempuh laluan mudah sepanjang kejohanan ini dengan beroleh kemenangan selesa ke atas Filipina, Myanmar dan Vietnam. Walau bagaimanapun, keadaan begitu berbeza ketika menentang Malaysia pada separuh akhir.  Perlawanan pusingan pertama ialah permainan yang paling menarik pernah saya saksikan dalam kejuaraan ini.  Kedua-dua pasukan mempunyai peluang yang sama

untuk menang. Dalam artikel sebelum ini saya mengatakan yang jika Thailand mara ke akhir, mereka harus berterima kasih kepada Kawin yang cemerlang menjaga gawang.   

Bagi saya, perlawanan pusingan kedua adalah sandiwara yang memalukan. Bukan dari segi permainan atau sudut pandang pemain, tetapi dari aspek pengadilannya yang amat teruk.  Pengadil, Lee Min Hu membuat banyak keputusan yang tidak wajar dan yang paling serius ialah apabila dia melayangkan kad merah buat pemain Malaysia, Fadhli Shas. Perbalahan antara Fadhli dan Datsakorn hanyalah pertelingkahan kecil namun pengadil bertindak melayangkan kad kuning kedua kepada Fadhli sekali gus memusnahkan seluruh perlawanan.  Semuanya itu berlaku dalam separuh masa pertama!

Saya melihat keadaan ini sebagai titik perubahan yang menyaksikan Thailand kemudiannya menyusun langkah untuk menewaskan Harimau dan kelihatan begitu selesa melakukannya.

Seperti yang saya nyatakan, Kawin bagi saya ialah penjaga gol terbaik dalam kejohanan ini dan bersama Chonlatit dan Wongsa, mereka membentuk gabungan mantap di kubu pertahanan Gajah.  Saya yakin Theeraton dan Buntao dapat melakukan tugas yang baik di barisan hadapan namun terpaksa bergelut di bahagian pertahanan, di mana mereka diperlukan.

Datsakorn akan menguasai bahagian tengah. Thailand perlu berusaha memastikan bola sampai kepadanya sekerap mungkin kerana dia adalah antara pemain terbaik di Asia Tenggara dan berjaya mengekalkan prestasi cemerlangnya itu sejak beberapa tahun lalu. Adul Lahso tampil bagaikan ‘wira tidak disanjung’ lantaran dialah yang mematahkan semua serangan dengan bertindak sebagai pemain tengah.  Sumbangannya yang begitu banyak menjadikan tulang belakang pasukan ini amat kuat.

Dengan kehadiran penjaring gol utama Teerasil,  Thailand mempunyai seorang pemain yang mampu mencipta sesuatu yang di luar jangkaan.  Pemain muda yang begitu hangat ketika ini, seharusnya menjaringkan lebih daripada lima gol yang diciptanya setakat ini.  Perlu diingat, dia tidak diturunkan dalam perlawanan akhir kumpulan dan mungkin berpeluang menyumbat beberapa gol lagi sekiranya dia bermain. 

Dia cukup tangkas di padang dan cukup pantas berfikir.  Kepintarannya menggelecek bola menjadikannya ancaman utama bagi skuad Singa.

Saya percaya perlawanan pusingan pertama ini bakal menyaksikan pertentangan yang cukup hebat.  Thailand menjadi pilihan untuk tampil juara keseluruhan tetapi yang pasti, Singapura tidak akan mudah menyerah kalah.

Perlawanan pusingan pertama akan berlangsung di Stadium Jalan Besar, di atas padang tiruan yang mana ini akan memberikan kelebihan kepada pasukan tuan rumah.  Seperti mana perlawanan dengan Filipina, kesemua 8,000 tiket habis dijual dalam masa setengah jam. Para penyokong juga akan memainkan peranan mereka.  Suasana di dalam stadium sudah cukup mendebarkan dan dengan ribuan penyokong yang datang menyaksikan perlawanan, pastinya tekanan terhadap para pemain akan meningkat.  Dengan lapan pemain sama yang beraksi (daripada permulaan perlawanan terdahulu) untuk skuad Singa XII tahun lepas dan padang tiruan yang juga adalah laman sendiri, pastinya menggandakan peluang Singapura untuk memenangi perlawanan ini.

Thailand kukuh dan mantap di benteng pertahanan dan saya yakin mereka akan mencari peluang untuk menyerang balas Singapura.  Dengan kemahiran Datsakorn menghantar bola dan Teerasil yang bermain dengan cukup baik, saya percaya Thailand mampu mencipta gol. 

Namun dengan kelebihan Singapura bermain di laman sendiri, saya percaya mereka dapat menguasai permainan (seperti yang mereka lakukan pada 2007) dengan kemenangan tipis.

Saya meramalkan Singapura menang 2-1 dan segalanya mungkin dalam perlawanan pusingan kedua.

Bekas pemain bola sepak profesional Paul Masefield ialah pemerhati dan pengulas sukan bola sepak ESPN STAR Sports. Saksikan liputan LANGSUNG perlawanan akhir pertama kejohanan Piala AFF Suzuki 2012, Singapura menentang Thailand menerusi STAR Sports pada Rabu 19 Disember, jam 7:30 malam.