Advertisement

Peruntukan tambahan untuk PDRM dalam Belanjawan 2014 - Bernama

Tiada pihak ketiga urus diskaun saman trafik

Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mendapat peruntukan tambahan dalam Belanjawan 2014 bagi membanteras janayah di negara ini, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (gambar).

“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengumumkan bajet tambahan untuk PDRM bagi membanteras jenayah pada ucapan belanjawan. Sebelum itu, Jabatan Peguam Negara (AGC) membantu kami untuk memberi kelulusan khas daripada perdana menteri untuk membeli aset bagi kegunaan PDRM.

"Ini termasuk dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara yang mendapat kerjasama Jabatan Perdana Menteri dan AGC,” katanya pada sidang media hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri yang turut dihadiri Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan dijangka membentangkan Belanjawan 2014 pada 25 Oktober ini.

Ditanya mengenai cadangan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk membeli helikopter bagi kegunaan Unit Udara PDRM, Ahmad Zahid berkata, beliau sangat menyokong cadangan itu jika bajetnya diluluskan Kementerian Kewangan.

“PDRM amat memerlukan helikopter bagi tujuan operasi. Kini semangat tinggi sedia ada dalam PDRM dan agensi, tetapi kerap kali kekangan kita ialah aset dan perkakasan,” katanya.

Ketika berucap di perhimpunan itu, beliau berkata, seramai 1,107 pesalah menjalani hukuman Perintah Kehadiran Wajib yang kerajaan dapat mengurangkan kos pengurusan pesalah sebanyak RM3.5 juta sehingga 23 Ogos lalu.

“Ini membuktikan kerjasama strategik Jabatan Penjara dan mmahkamah bukan sahaja dapat memulihkan pesalah, tetapi juga menjimatkan perbelanjaan negara,” katanya.

Beliau mengucapkan tahniah kepada Jabatan Penjara kerana berjaya mengekalkan kadar residivis atau kes banduan berulang kali masuk penjara di negara ini pada 7.96 peratus dari Januari hingga Julai tahun ini. - Bernama, 2 September, 2013.