Advertisement

Pesawat tersasar landasan di Kudat, dua orang mati

Pesawat tersasar landasan di Kudat, dua orang mati

Penerbangan Malaysian mengesahkan, dua orang meninggal dunia dalam nahas pesawat MASwing yang tersasar dari landasannya di Kudat iaitu pembantu juruterbang dan seorang penumpang.

Selain daripada seorang lelaki tempatan berusia 69 tahun, Star Online melaporkan bahawa pembantu juruterbang berusia 23 tahun, Marc Joel Barsih, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu akibat kecederaan di kepala dan badan. Beliau merupakan anak kepada seorang juruterbang helikopter yang berkhidmat dengan Sabah Air.

Pesawat MASwing Twin Otter itu terkeluar dari landasan dan merempuh sebuah rumah di perkarangan lapangan terbang Kudat jam 2.54 petang ini.

Bernama pula melaporkan, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Mohd Affendy Ramin berkata pesawat yang dinaiki 16 orang itu terhempas mengakibatkan enam penumpang cedera.

10 orang lagi diberikan rawatan pesakit luar di Hospital Kudat selepas pesawat itu menjunam di Kampung Sinsan pada 2.54 petang.

"Panggilan kecemasan diterima pada pukul 2.54 petang dan jentera bomba bersama 11 anggota tiba di tempat kejadian 21 minit kemudian.

"Kesemua 16 mangsa dalam pesawat tersebut berjaya dikeluarkan dan dihantar ke Hospital Kudat untuk pemeriksaan," katanya ketika dihubungi di sini.

Punca kejadian sedang dalam siasatan. Sementara itu, MAS mengesahkan hanya enam sahaja yang cedera daripada 16 penumpang kapal terbang iaitu 15 warganegara Malaysia dan seorang warga Filipina.

Kesemua penumpang sudah dikeluarkan dan mereka yang cedera sedang menerima rawatan yang perlu.

"Fokus kami sekarang adalah penumpang yang terlibat, anak kapal serta pihak-pihak yang berkaitan," kata jurucakap MAS dalam kenyataannya.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengerusi MASwing, Ahmad Jauhari Yahya dalam perjalanan ke Kudat untuk menyelia situasi di sana.

Keluarga penumpang yang terlibat boleh menghubungi nombor telefon +603- 78841234 untuk mendapatkan maklumat lanjut. - 10 Oktober, 2013.