PKR jelajah seluruh negara kempen mansuh Akta Hasutan

Susulan daripada siri pendakwaan ahli politik Pakatan Rakyat (PR) mengikut Akta Hasutan 1948 sejak kebelakangan ini, PKR hari ini melancarkan kempen Mansuh Akta Hasutan (MAH) bertujuan memberi tekanan kepada Putrajaya.

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berkata mereka tidak yakin dengan janji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk memansuhkan akta yang sekarang ini digunakan untuk mengekang pengkritik pentadbirannya.

"PKR yakin Akta Hasutan tidak akan dimansuhkan oleh mana-mana pentadbiran Umno dan Barisan Nasional, malah mereka akan menggunakan peruntukan dalam akta lain untuk terus menekan pihak yang berbeza pendapat dengan mereka," kata ahli Parlimen Pandan itu pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya, hari ini.

Rafizi berkata, hanya dengan mobilisasi massa kerajaan akan tunduk kepada tuntutan memasuhkan akta tersebut, memberi contoh kejayaan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebelum ini.

"Hasrat sebahagian besar rakyat yang mahu Akta Hasutan ini dimansuhkan hanya dapat dicapai melalui gerakan rakyat, seperti yang dibawa Gerakan Mansuh ISA dulu," katanya.

Katanya, antara langkah yang bakal diambil untuk menjayakan gerakan tersebut, PKR akan mengadakan jelajah seluruh negara untuk menjelaskan penindasan akta tersebut yang diguna pakai sejak zaman penjajah British itu.

"Tindakan seperti ini menimbulkan kemarahan rakyat," katanya.

Rafizi berkata, satu demonstrasi akan diadakan dengan kerjasama mahasiswa dan badan lain untuk mendesak dihentikan segera tindakan provokasi menggunakan akta tersebut.

Pada sidang media sama, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar mempertikaikan tindakan diambil pentadbiran Najib kerana masih menggunakan akta tersebut untuk mendakwa lawan politiknya.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar pada sidang media yang sama mempertikaikan Akta Hasutan digunakan lagi walaupun sepatutnya ia dimansuhkan. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 3 September, 2014.
Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar pada sidang media yang sama mempertikaikan Akta Hasutan digunakan lagi walaupun sepatutnya ia dimansuhkan. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 3 September, 2014.

"Siapa yang memerintah Malaysia sekarang ini? Kenapa ulang menggunakan Akta Hasutan?" kata ahli Parlimen Lembah Pantai itu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Batu Chua Tian Chang atau dikenali sebagai Tian Chua menyifatkan pendakwaan tersebut hampir sama dengan Operasi Lalang pada 1987.

Naib presiden PKR baru, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata siri pendakwaan tersebut berlaku selepas kritikan Tun Dr Mahathir Mohamad, sekali gus menimbulkan kecurigaan terhadap langkah kerajaan menggunakan akta itu ke atas lawan mereka.

"Adakah Najib cuba membuktikan sesuatu kepada Dr Mahathir? Saya difahamkan lebih ramai lagi akan berdepan Akta Hasutan ini," katanya, yang juga ahli Parlimen Bukit Katil.

Peguam PKR R Sivarasa yang juga ahli Parlimen Subang berkata penggunaan undang-undang penjajah tersebut berniat jahat dan kejam serta perlu dimansuhkan.

Dalam masa dua minggu lepas, beberapa pemimpin PR didakwa mengikut akta sama termasuk Rafizi dan N Surendran (PKR), Khalid Samad (PAS) dan RSN Rayer (DAP).

Teresa Kok (DAP) dan Tian Chua turut didakwa atas kesalahan menghasut, sementara Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin (PAS) didakwa atas tuduhan membuat fitnah dua tahun lepas.

Semua wakil rakyat ini berdepan kemungkinan hilang jawatan mereka jika mahkamah menjatuhkan denda RM2,000 atau lebih atau hukuman penjara sekurang-kurangnya setahun.

Terkini, pensyarah undang-undang Universiti Malaya Prof Madya Dr Azmi Sharom didakwa mengikut Akta Hasutan kerana dituduh mengeluarkan kenyataan berbentuk hasutan mengenai krisis perlembagaan di Perak pada 2009. – 3 September, 2014.