Advertisement

Selepas PPS, giliran Unit Amal PAS, kata Zahid Hamidi

Back Najib on revised budget, Zahid tells opposition

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengatakan beliau pasti polis akan mengambil tindakan terhadap pasukan Unit Amal PAS seperti yang dilakukan kepada Pasukan Peronda Sukarela (PPS) Pulau Pinang.

Menteri dalam negeri itu berkata polis hanya menunggu masa sebelum bertindak terhadap pasukan sukarela parti Islam itu.

"Tindakan yang sama (terhadap Unit Amal) juga akan diambil pihak polis. Saya sangat yakin mereka akan diambil tindakan," kata Zahid di Kuala Lumpur hari ini.

Pasukan Unit Amal PAS sering membantu menjaga keselamatan dan lalu lintas dalam program dianjurkan parti Islam itu dan Pakatan Rakyat (PR).

Sebagai reaksi terhadap kenyataan Zahid, Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kayat menggesa menteri dalam negeri itu memohon maaf kerana melabelkan Unit Amal PAS sebagai jabatan keselamatan tidak berdaftar.

Menurut Suhaizan, Unit Amal PAS adalah badan kebajikan di bawah Pemuda PAS yang menguruskan kebajikan dan bantuan kemanusiaan termasuk banjir dan kebakaran.

"Kalau buat demonstrasi, itu maknanya adalah sesuatu yang dibenarkan dalam Perlembagaan, jadi kita jaga kebajikan orang yang nak buat demonstrasi.

"Begitu juga semasa ceramah PAS, apabila kita menjaga kawalan keselamatan dan lalu lintas," kata Suhaizan kepada The Malaysian Insider.

Katanya, Zahid perlu meminta maaf secara terbuka atas kenyataannya terhadap Jabatan Amal yang beroperasi sejak 20 tahun lalu.

"Saya tak nampak kenapa kerajaan mahu ambil tindakan. Selama tempoh Jabatan Amal bertugas lebih 20 tahun dan adakalanya bekerjasama dengan pihak polis dan agensi kerajaan, tiba-tiba hari ini mahu dipersalahkan."

Zahid sebelum itu mempertahankan tindakan polis menahan anggota PPS dan menyalahkan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng. – 1 September, 2014.