Polis mulakan siasatan terhadap kumpulan Malaysian Spring, diragui cetus kekecohan

Oleh Md Izwan

KUALA LUMPUR, 4 Mei — Kemunculan kumpulan Malaysian Spring diragui cuba mencetuskan kekecohan pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13), kata Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam satu sidang media hari ini.

Khalid berkata kes siasatan telah dibuka ke atas kumpulan tersebut yang aktif memasang bendera di sekitar kawasan perumahan di ibu kota Kuala Lumpur dan beberapa aduan telah diterima tentang perkara tersebut.

“Kita sudah mengenalpasti usaha-usaha pihak tertentu yang menamakan diri mereka Malaysian Spring yang diragui akan menghasut rakyat untuk memberontak,” kata Khalid semasa bercakap di Bukit Aman.

“Jadi, kita telah membuka kertas siasatan dan akan menyiasat kes tersebut.”

Beliau turut menggesa pihak tersebut agar hentikan tindakan menanam bendera dan menghasut rakyat untuk turun berdemonstrasi selepas pilihan raya pada esok.

Pengasas pergerakan tersebut, Ng Seksan walaubagaimanapun awal hari ini menafikan tuduhan menanam bendera kecil atau “bunga” adalah bertujuan untuk menganjurkan demonstrasi sekiranya Pakatan Rakyat (PR) kalah pada pilihan raya umum kali ini.

“Mereka putar belit cerita. Tiada plot untuk mengadakan demonstrasi, saya ingin menjelaskan ini supaya orang ramai tidak panik atau mewujudkan rasa takut di kalangan rakyat,” katanya selepas dihubungi The Malaysian Insider.

Kira-kira 16,000 bendera kecil pelbagai warna ditanam pada mulanya di bulatan Jalan Tempinis Bulatan di Taman Lucky, Bangsar, yang berada dalam kerusi Parlimen Lembah Pantai pada 14 April lalu.

Sejak itu, pergerakan itu telah merebak ke kawasan pinggir bandar seperti Damansara Heights, Sri Hartamas dan Taman Tun Dr Ismail serta di kerusi Parlimen Segambut, dan juga negeri-negeri lain seperti Perak.

Khalid hari ini berkata bahawa pihak polis telah mula membuang bendera kecil berwarna tersebut menjelang pilihan raya esok yang akan menyaksikan Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN) bersaing dalam pilihan raya yang dianggap paling sengit sejarah sejak Kemerdekaan negara pada 1957.

“Saya memberi amaran kepada orang ramai untuk berhenti menyertai pergerakan Malaysia Spring,” katanya.

“Sebelum proses demokrasi selesai, sudah ada orang-orang yang cuba mewujudkan kekecohan melalui Malaysian Spring,” tambah Khalid.