Polis tahan PPS kerana cabar untuk ditahan, kata Dr Mahathir

Tun Dr Mahathir Mohamad menyokong tindakan polis menahan 156 anggota Pasukan Peronda Sukarela (PPS) Pulau Pinang kerana mereka mencabar Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar secara terbuka.

Bekas perdana menteri itu turut menyifatkan tindakan polis itu tepat pada masanya dan tidak mempunyai pilihan lain selain menguatkuasakan undang-undang.

"Di negara ini kita sudah beri tanggungjawab kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjaga keselamatan... bagaimanapun sesetengah badan dan organisasi juga dibenarkan memohon lesen khas daripada polis untuk memantau keselamatan sesuatu kawasan, namun masih tertakluk kepada undang-undang dan peraturan ditetapkan,” katanya seperti dilaporkan portal Agendadaily malam tadi.

"Mengandaikan peraturan kawalan keselamatan adalah di tangan mereka, itu tidak betul dan mereka tidak patut melakukan perkara sebegitu... malah mereka mencabar Ketua Polis Negara (KPN) untuk menahan mereka, maka KPN tidak ada pilihan lain selain menguatkuasakan undang-undang yang ada," katanya.

Kesemua 156 anggota Pasukan Peronda Sukarela (PPS) yang ditahan semalam kini bebas selepas 135 daripada mereka dibebaskan atas jaminan polis malam tadi.

Mereka termasuk pengerusi Jawatankuasa Persekitaran dan Kesejahteraan Masyarakat (exco) Pulau Pinang, Phee Boon Poh yang dibebaskan petang semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Persekitaran dan Kesejahteraan Masyarakat (Exco) Pulau Pinang, Phee Boon Poh semasa proses reman di dewan serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut semalam. – Gambar The Malaysian Insider oleh Hasnoor Hussain, 2 September, 2014.
Pengerusi Jawatankuasa Persekitaran dan Kesejahteraan Masyarakat (Exco) Pulau Pinang, Phee Boon Poh semasa proses reman di dewan serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut semalam. – Gambar The Malaysian Insider oleh Hasnoor Hussain, 2 September, 2014.

Menurut sumber polis, Phee dan ahli PPS sudah memberi kenyataan berhubung siasatan polis ke atas pertubuhan itu.

Semalam Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengatakan tangkapan anggota PPS dilakukan semasa sambutan kemerdekaan di Pulau Pinang dibuat selepas Ketua Menteri Lim Guan Eng mencabar Ketua Polis Negara mengambil tindakan ke atas mereka.

Katanya, sejak beberapa hari lepas polis memberi nasihat kepada Pulau Pinang berkenaan PPS, unit yang ditubuhkan di bawah kerajaan negeri, tetapi ketua menteri itu tidak mempedulikannya.

"Tindakan itu juga dibuat selepas polis menerima surat rasmi dari Pendaftar Pertubuhan (RoS) mengesahkan PPS bukan pertubuhan berdaftar," katanya kepada media selepas merasmikan mesyuarat Umno bahagian Segambut di Kuala Lumpur.

Zahid turut mengatakan polis akan mengambil tindakan sama terhadap Jabatan Amal (Unit Amal) yang terletak di bawah Pemuda PAS. – 2 September, 2014.