Polis tunggu arahan Peguam Negara untuk dakwa peronda sukarela Pulau Pinang

Polis tunggu arahan Peguam Negara untuk dakwa peronda sukarela Pulau Pinang

Polis Pulau Pinang masih menunggu arahan daripada Pejabat Peguam Negara sama ada akan mendakwa 157 ahli Pasukan Peronda Sukarela (PPS) Pulau Pinang yang ditahan pada 31 Ogos lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi (gambar) berkata pihaknya menyiapkan kertas siasatan kes berkenaan dan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara.

"Memang mereka (ahli PPS) diberi jaminan kedua oleh polis pada Rabu lepas dan sebenarnya tidak timbul isu polis tidak cukup bukti atau sebagainya kerana menyambung jaminan tersebut.

"Sebaliknya polis mengikut prosedur yang sepatutnya iaitu memberi lanjutan jaminan sehingga Pejabat Peguam Negara memberi arahan untuk mendakwa semua ahli PPS berkenaan," katanya.

Rahim bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Program Inisiatif Whitening Black Spot di kawasan Bukit Gedung, Pulau Pinang hari ini.

Beliau mengulas dakwaan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang dilaporkan berkata lanjutan tempoh jaminan untuk kali kedua sehingga 1 Disember ini terhadap ahli PPS itu menunjukkan bahawa peguam negara dan polis tidak ada bukti kukuh semasa menangkap ahli PPS.

Lim turut dilaporkan berkata bahawa tindakan menangkap mereka adalah sesuatu yang tidak berasas langsung.

Pada 31 Ogos lepas, 154 ahli PPS ditahan kerana ingkar amaran untuk tidak menjalankan aktiviti selepas didapati tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan.

Ini disusuli penahanan anggota exco Kebajikan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar yang merupakan pengerusi PPS, Phee Boon Poh, pada hari yang sama dan Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Delima RSN Rayer sehari selepas itu.

Timbalan Pengerusi PPS merangkap Ahli Parlimen Tanjong Ng Wei Aik ditahan pada 4 September.

Dalam pada itu, Rahim berkata, polis Pulau Pinang mengambil beberapa tindakan proaktif termasuk menubuhkan tiga pasukan khas untuk memerangi jenayah ragut, samun tanpa senjata api dan pecah rumah yang kini semakin meningkat.

"Menurut rekod polis sepanjang tahun ini berbanding tahun lepas, jenayah ragut meningkat 86 kes, samun tanpa senjata dan pecah rumah masing-masing 25 kes," katanya.

Rahim berkata setiap pasukan khas itu akan diketuai pegawai berpangkat ASP dan disertai 25 ahli polis untuk membuat pemantauan dan pencegahan jenayah berkenaan.

Beliau berkata pihaknya juga merancang untuk menambah pasukan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di kawasan yang kerap berlaku jenayah berkenaan.

Program Inisiatif Whitening Black Spot itu merupakan kolaborasi antara polis dan beberapa agensi penguatkuasaan lain antaranya Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Jabatan Imigresen, Rela, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, pertubuhan bukan kerajaan serta komuniti setempat. – Bernama, 1 November, 2014.