PROTON YAKIN SAGA SV AKAN TINGKATKAN PENDAPATAN, KEUNTUNGAN

KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) -- Syarikat kereta nasional, Proton Holdings

Bhd, yakin varian baharu Saga FLX, Proton Saga Super Value (Saga SV), akan

meningkatkan pendapatan dan keuntungan syarikat itu.

Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Mohd Khamil Jamil, menjangka syarikat itu

dapat menjual 2,000 unit Saga SV sebulan disebabkan oleh peningkatan kualitinya

dan penurunan harganya.

"Sebagai permulaan, kami menjangkakan 2,000 unit sebulan, tetapi kami

berharap dengan pakej yang kami tawarkan, iaitu pakej yang amat menggalakkan,

jualan boleh meningkat kepada lebih 2,000 unit sebulan.

"Kami amat berharap penurunan harga dan peningkatan kualiti kereta ini, akan

mewujudkan minat yang lebih tinggi terhadap varian FLX, dan meningkatkan nilai

jenama Proton," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Saga SV di sini hari

ini.

Beliau berkata pengenalan Saga SV akan membantu Proton meraih 30 peratus

agihan pasaran bagi Saga dalam segmen B menjelang akhir tahun, daripada 24

peratus.

"Saga SV adalah manifestasi komitmen Proton untuk menyediakan ciri-ciri

nilai bagi wang yang luar biasa lebih baik kepada rakyat Malaysia, termasuk

ciri-ciri keselamatan yang dipertingkatkan, kualiti yang lebih baik, praktikal,

gaya yang lebih hebat dan kemampuan memilikinya.

"Ini juga merupakan sebahagian daripada usaha Proton untuk sentiasa

memberikan nilai bagi wang yang lebih baik, dan kereta mampu milik kepada rakyat

Malaysia, dan menyokong komitmen kerajaan untuk beransur-ansur menurunkan

harga," tegasnya.

Kata Khamil, syarikat yang menyasarkan untuk menjadi nombor satu dalam

kalangan peserta industri dalam tiga tahun akan datang itu merancang untuk

membawa varian baharu itu ke Indonesia dalam jangka terdekat ini kerana ia perlu

memenuhi permintaan tempatan terlebih dahulu sebelum mengeksport.

Beliau berkata syarikat kereta itu juga merancangkan model gantian bagi

semua rangkaian di bawah jenama Proton.

Saga SV yang berharga dari RM33,438, diupayakan oleh Campro IAFM 1.3 liter

yang sama seperti Saga FLX, dan boleh didapati dalam bentuk transmisi manual dan

CVT automatik.

Varian baharu itu dipasang dengan, antaranya, roda keluli 13 inci, radio

dengan pemain CD, sering kuasa, kawalan cermin sisi manual, signal membelok yang

disepadukan dengan cermin sisi, beg udara berkembar dan tali pinggang keledar

pra-regangan.

Saga SV yang dikeluarkan dalam enam warna -- soli wit, elegant brown,

tranquility black, genetic silver, fire red dan blue rock - ditawarkan bersama

jaminan selama tiga tahun atau jaminan pembuatan 100,000 kilometer.

-- BERNAMA

AMY AMY NN KY

Loading...