Pulangkan Bible segera, tak perlu jumpa peguam negara, kata DAP

We are still looking for best way to return Bibles, says Azmin

Exco Selangor Sallehin Mukhyi tidak perlu berdalih untuk memulangkan Bible berbahasa Melayu dan Iban yang dirampas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), dengan berhasrat untuk bertemu Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail,
kata DAP.

Pengarah Strategi DAP, Dr Ong Kian Ming berkata Gani tidak menyatakan keperluan untuk bertemunya dalam urusan memulangkan Bible yang dirampas Jais, sebaliknya perlu berlandaskan undang-undang.

"Sallehin tidak perlu mencari alasan melewatkan pemulangan Bible kepada Pertubuhan Bible Malaysia (PBM). Beliau perlu menggunakan kebijaksanaan dan budi bicaranya bekerjasama dengan Jais untuk memulangkan Bible dengan segera.

"Langkah terbaik adalah memulangkan Bible berkenaan dalam keadaan berhemah bagi membina kepercayaan di antara kerajaan negeri, Jais dan PBM," kata Ahli Parlimen Serdang itu dalam satu kenyataan hari ini.

Pada satu sidang media di Kajang semalam, Sallehin berkata kerajaan negeri akan mengadakan pertemuan dengan Gani bagi mendapat penjelasan lanjut mengenai pemulangan Bible ke PBM.

Katanya, PBM perlu menunggu sedikit masa lagi bagi membolehkan semua kemelut berkaitan selesai.

“Apabila kita mula mengambilnya dariada PBM, kita melalui proses undang-undang sehingga selesai keputusan daripada Peguam Negara. Proses undang-undang bermakna macam mana cara kita ambil, begitu cara kita pulangkan.

“Kalau PBM boleh menunggu keputusan Peguam Negara sekian lama, saya fikir pemulangannya begitu jugalah,” kata Sallehin semalam.

Ong berkata jika kerajaan Selangor serius untuk memulangkan Bible berkenaan, ia akan memperlihatkan usaha kerajaan negeri dalam mempromosikan keharmonian agama di negeri itu.

"Semua ini boleh dilakukan tanpa perlu berunding dengan Peguam Negara dan menyegerakan pemulangan Bible ke PBM dengan cara yang berhemah," katanya.

Khamis lalu, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meminta Jais memulangkan semula Bible berbahasa Melayu dan Iban yang dirampas daripada PBM selepas Peguam Negara menutup kes tersebut.

Beliau berkata, pihaknya akan mengarahkan Jais memulangkan semula lebih 300 kitab itu.‎

"Kerajaan negeri meminta Sallehin dan Penasihat Undang-undang Kerajaan Selangor, Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman, untuk membantu Jais memulangkan semua barang kes tersebut," kata Khalid dalam satu kenyataan.

Gani pada Rabu mendakwa Jais tersalah langkah dalam rampasan Bible di Selangor Januari lalu, dan mengarahkan mereka menutup kes tersebut.

Katanya, Bible yang dirampas itu bukan diterbitkan mengikut seksyen 9(1)(a) Enakmen Bukan Islam (Kawalan dan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) 1988.

Pada Januari lalu, Jais merampas lebih 300 Bible berbahasa Melayu dan Iban dari pejabat PBM di Damansara.

Bekas Presiden PBM, Lee Min Chong dan Pengurus Pejabat PBM, Sinclair Wong, juga ditahan dan dibawa ke balai polis, sebelum dibebaskan dengan ikat jamin.

Serbuan Jais dibuat mengikut Enakmen Agama Bukan Islam 1988 (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) yang diluluskan kerajaan Barisan Nasional (BN), yang menghalang bukan Islam di Selangor menggunakan 35 istilah berbahasa Arab termasuk "Allah", "Nabi", "Injil" dan "Insya-Allah". – 14 Jun, 2014.