Pusat sembelihan ayam halal di setiap daerah menjelang akhir tahun ini, kata menteri

Ismail Sabri kesal kenyataan boikot peniaga Cina jadi sentimen perkauman

Sekurang-kurangnya sebuah pusat penyembelihan ayam halal akan diwujudkan di setiap daerah menjelang hujung tahun ini, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (gambar).

"(Sembelihan) Ayam ini isu besar, media banyak keluarkan mengenai ayam 'cucuk' dan sebagainya," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementeriannya di Wisma Tani, Putrajaya hari ini.

Ismail Sabri berkata Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) akan bekerjasama dengan agensi berkaitan di bawah kerajaan negeri supaya sasaran itu tercapai.

Beliau berkata kira-kira 1,900 pusat sembelihan ayam di seluruh negara sedang didaftarkan ketika ini bagi memudahkan proses mendapatkan sijil halal.

Ismail Sabri sebelum ini dilaporkan berkata hampir 80% daripada pusat sembelihan itu tidak berlesen dan belum berdaftar dengan JPV.

Pusat sembelihan ayam yang tidak berlesen berkenaan merupakan pengusaha kedai kecil-kecilan yang diragui status halal dari segi cara penyembelihan.

Ismail Sabri juga berharap kerajaan negeri dapat menguatkuasakan Enakmen Perladangan Unggas masing-masing supaya semua pusat sembelihan mempunyai lesen bagi memudahkan pihak berkuasa memantau operasi mereka.

Penguatkuasaan enakmen itu adalah untuk memastikan pusat sembelihan ayam termasuk itik, puyuh dan ayam belanda mematuhi sembelihan cara Islam, menjaga kebersihan dan produk dikeluarkan berkualiti serta halal.

Sementara itu Ismail Sabri berkata JPV mempunyai sebanyak 29 pusat sembelihan lembu halal.

"Kita sedang tawarkan 46 pusat sembelihan lembu swasta untuk diberi sijil halal," katanya. – Bernama, 5 Ogos, 2014.