Putrajaya hina umat Islam sekat sarjana Indonesia, kata pengkritik

Keputusan Putrajaya menghalang masuk sarjana Indonesia, Dr Ulil Abshar Abdalla menghadiri sebuah perbincangan meja bulat diselar pengkritik sebagai memandang rendah masyarakat Islam di Malaysia.

Menurut Pengarah Islamic Renaissance Front (IRF), Dr Ahmad Farouk Musa, yang menganjurkan forum tersebut, kerajaan tidak konsisten dalam membudayakan konsep kesederhanaan apabila menghalang Ulil masuk ke Malaysia bercakap tentang bahaya fundamentalisme agama.

Bekas menteri, Datuk Zaid Ibrahim, menggelar kerajaan “fundamentalis” dan berkata apa yang berlaku adalah contoh terbaru Malaysia berubah menjadi ekstrimis.

Zaid menggesa negara Komanwel berhenti bersikap “sopan” terhadap Malaysia supaya pemimpin negara lebih bertanggungjawab terhadap tindakan yang dilakukan.

"Kerajaan fikir kami tidak ada minda sendiri dan perlu dibimbing apa yang perlu didengar, apa yang perlu dibaca dan apa yang perlu difikirkan. Apa yang lebih bersifat menghina dari itu?" kata Farouk kepada The Malaysian Insider.

"Seperti kata Ulil melalui akaun Twitternya, kerajaan boleh halang beliau masuk ke negara ini, tetapi perkembangan idea Islam progresif tidak boleh dihentikan."

Menurut Farouk, Putrajaya hanya takut kepada bayang-bayang sendiri dan perlu sedar percambahan idea tidak boleh dihalang.

Ulil (gambar, kanan) dijadualkan bercakap sebagai penceramah utama dalam perbincangan meja bulat anjuran IRF bertajuk "Tantangan Fundamentalisme Agama di Abad Ini" di Bukit Damansara pada 18 Oktober.

Namun, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Khamis lalu berkata, forum itu perlu dihentikan atas alasan Ulil terkenal dengan pandangan liberalnya.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha berkata, ajaran bertentangan dengan mazhab Syafi mampu “menggugat kepercayaan orang Islam di Malaysia” mesti dihalang.

Ulil kemudian disenarai hitam oleh Jabatan Imigresen, sementara Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, Ulil mungkin “memesongkan orang Islam di negara ini jika dibenarkan menyebarkan fahaman liberalnya di sini.”

Semalam menteri yang menguruskan hal ehwal agama, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengulangi pendirian Ulil disekat masuk ke Malaysia kerana ajarannya bertentangan dengan mazhab Syafi yang dianuti majoriti rakyat.

Ini menyebabkan Zaid (gambar, kiri) menyelar kerajaan kerana semakin menunjukkan sikap “autoritarian” mereka.

“Sesuatu perlu dilakukan untuk melawan autoritarianisme seperti ini. Saya berharap pemimpin negara Komenwel yang bermesyuarat di Malta tahun hadapan akan memerhatikan dengan lebih dekat negara fundamentalis bernama Malaysia ini,” tulis Zaid.

Sementara itu, Farouk memberitahu The Malaysian Insider forum itu tetap diteruskan dengan menampilkan ahli panel dan di tempat berbeza.

"Kami akan bawakan Prof Syed Farid Alatas daripada National University of Singapore sebagai penceramah utama dan Prof Tajuddin Rasdi dan saya sebagai moderatornya," katanya.

Beliau berkata tidak ada sebab pihaknya perlu mengikut arahan Jakim supaya forum itu dibatalkan, "kecuali sekiranya Jakim sebenarnya dalam diam menyokong ekstremis agama dan cuba menghalang sebarang gerakan untuk kesederhanaan".

Beliau turut menegur menteri dalam negeri yang dilihatnya terburu-buru menghalang kemasukan Ulil.

"Alasan Zahid itu menunjukkan dia tidak tahu apa-apa tentang sebab sebenar kenapa Ulil mahu datang ke Kuala Lumpur.

"Kedatangan Ulil ke sini untuk bercakap tentang isu perkembangan fundamentalis dan ekstremis agama. Tindakan Zahid menunjukkan dia bertindak hanya berdasarkan khabar angin," kata Farouk.

Ulil mengetuai Jaringan Islam Liberal di Indonesia, dan seperti Senator Nick Xenophon dan aktivis Natalie Lowrey dari Australia, disenarai hitam Jabatan Imigresen dan dihalang masuk Malaysia.

Ulil sebelum menulis melalui akaun Twitternya, @Ulil, yang masyarakat Islam perlu lebih berdialog sekarang memandangkan trend konservatif semakin menular di Malaysia, sama seperti di Indonesia.

Dalam wawancaranya bersama The Malaysian Insider melalui telefon, beliau mendedahkan pernah dijemput menghadiri persidangan Islam antarabangsa di Kuala Lumpur pada 2002 semasa di zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad. – 15 Oktober, 2014.