Putrajaya tidak guna draf Majlis Peguam ganti Akta Hasutan, kata Najib

Putrajaya tidak guna draf Majlis Peguam ganti Akta Hasutan, kata Najib

Putrajaya mengakui tidak akan menggunapakai draf bagi menggantikan Akta Hasutan yang diusulkan Majlis Peguam kerana pertubuhan itu tidak menyokong kerajaan, kata Datuk Seri Najib Razak.

Dalam satu temubual khasnya dengan Mingguan Malaysia, perdana menteri berkata, setakat ini masih belum ada sebarang draf yang dibuat lagi menggantikan undang-undang yang dipakai sejak zaman penjajah British itu.

Sebaliknya, Najib berkata, kerajaan hanya akan mengguna pakai draf yang disediakan Jabatan Peguam Negara.

Katanya, timbul kekeliruan yang kerajaan kononnya akan mengguna pakai draf Majlis Peguam kerana beliau sendiri cuba memberi sedikit ruang kepada rakyat memberi pandangan.

"Timbul sedikit kekeliruan seolah-olah draf daripada Majlis Peguam itulah yang akan kita gunakan.

"Tetapi kita tahu, Majlis Peguam ini memang tidak menyokong kita selama ini. Jadi kenapa kita hendak pakai draf daripada Majlis Peguam?

"Akhirnya, kita akan pakai draf daripada pihak peguam negara," katanya dalam wawancara tersebut yang disiarkan dalam akhbar Mingguan Malaysia hari ini.

Beliau berkata buat masa ini, kerajaan mendengar pendapat semua pihak dan sedar kebimbangan yang penggantian akta tersebut bakal menghilangkan pertahanan terakhir orang Melayu.

Katanya, meskipun jika undang-undang itu sudah tiada dan digantikan dengan yang baru, 4 perkara hak mutlak orang Melayu tidak akan disentuh mahupun ditarik balik.

"Ada 4 perkara yang merupakan hak mutlak mereka. Orang putih kata sacrosanct. Itu memang hak mutlak orang Melayu yang tidak boleh dipersoalkan pun. Jangan cuba hendak tarik balik daripada mereka.

"Saya faham soal hak Melayu termasuk keistimewaan Melayu, Islam, raja dan bahasa. Ini perkara induk kepada orang Melayu. Jadi, sebab itu apa yang kita hendak lakukan mesti ambil kira asas kepada orang Melayu," katanya.

Najib juga mengulas mengenai isu sekolah satu aliran yang turut mencetuskan kontroversi baru-baru ini sambil menegaskan tidak ada perdana menteri sebelum ini yang mahu cuba menutup sekolah vernakular.

Ini kerana katanya, pelaksanaan sekolah vernakular sudah menjadi komitmen kerajaan untuk diteruskan sejak merdeka hingga sekarang.

"Maka jika sudah ada persefahaman sebegitu yang diterjemahkan dalam bentuk undang-undang, dalam dasar serta manifesto BN serta Pelan Pembangunan Blueprint Pendidikan sampai 2025, kita tidak boleh mungkir janji. Itu hakikatnya," katanya.

Selain itu, beliau juga berpendapat terdapat sedikit perubahan dalam sokongan masyakat Cina terhadap BN, namun ia masih belum sampai ke tahap yang diharapkan.

Beliau turut menegur sikap sesetengah kaum Melayu yang mahu dan sering mempersoalkan tahap sokongan kaum Cina terhadap BN namun ia tidak seiring dengan perbuatan mereka.

Mengambil contoh isu sekolah jenis vernakular, beliau berkata tindakan yang mahu menghapuskan sistem itu hanya akan memberi risiko kepada BN.

"Ini kerana tidak mungkin sokongan orang Cina dapat ditingkatkan jika pada nafas yang sama kita tuntut sekolah Cina ditutup.

"Kita mesti putuskan apa sebenarnya. Dalam sistem demokrasi terbuka, pada keseluruhannya kita perlukan sokongan, baru kita boleh tubuh kerajaan," katanya. – 23 November, 2014.