Rakan model Estonia kutip dana bawa mayat pulang

Enam individu direman bantu siasatan kematian model

Rakan kepada model Estonia Regina Soosalu (gambar) kini mengumpul dana bagi membolehkan mayat peragawati itu dihantar pulang ke negara asalnya, lapor akhbar bahasa Inggeris The Star.

Keluarga Soosalu dilaporkan dinasihat oleh konsulat Estonia ke Malaysia Kolonel (B) Datuk Harbans Singh agar datang ke Malaysia bagi menyempurnakan pengebumian mayat peragawati itu di sini atas faktor kos yang tinggi untuk dihantar pulang ke negara itu.

"Kami sedang berusaha mengumpul dana untuk keluarganya di Estonia dan mengadakan perbincangan," kata rakan Soosalu kepada The Star.

Rakan peragawati itu mewujudkan satu laman Facebook yang dinamakan "In Loving Memory of Regina Soosalu 7/Dec/1984-1/Jul/2014" bertujuan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga peragawati itu.

Rakan peragawati itu berkata, wang yang ingin disumbangkan boleh disalurkan kepada sebuah taman peringatan di Malaysia melalui rakan dan keluarganya di Kuala Lumpur.

Mereka juga sedang berusaha mencari peguam bagi mewakili keluarga Soosalu nanti.

Harbans berkata, polis memaklumkan mayat Soosalu masih dalam siasatan sehingga pertengahan minggu depan.

"Saya juga menasihatkan keluarga mendiang agar datang ke Malaysia dan bertanya sendiri dengan polis berhubung siasatan," katanya.

Semalam, polis mendedahkan dua daripada tujuh suspek ditahan berhubung kematian Soosalu awal bulan ini.

Ketua polis Johor Datuk Hasnan Hassan berkata dua lelaki itu akan dibebaskan pada Selasa selepas kenyataannya dirakamkan.

"Baki lima lelaki yang berusia di antara 25 dan 35 masih direman dan polis melihat dari segala sudut penyiasatan," katanya dalam satu kenyataan.

Polis kini menunggu laporan bedah siasat dan ujian DNA sebelum merujuk kes berkenaan kepada timbalan pendakwa raya.

Teman lelaki Soosalu, Tunku Alang Reza Tunku Ibrahim antara tujuh yang ditahan polis.

Semua suspek yang dipercayai berkaitan dengan kes pembunuhan itu berada di Pulau Rawa semasa mayat Soosalu dijumpai pada 1 Julai lalu.

Soosalu dan Tunku Alang terlibat dalam kes dadah awal tahun ini apabila dituduh di Mahkamah Majistret pada Mei kerana memiliki 5.84g kanabis.

Pasangan itu mengaku tidak bersalah dan dilepaskan dengan ikat jamin RM7,000. – 14 Julai, 2014.