Advertisement

Rancangan Nazir untuk CIMB kini hadapi rintangan

Sejak 15 tahun lalu, Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Datuk Seri Nazir Razak sentiasa menerima sokongan pelabur institusi nasional untuk perjanjian multi bilion ringgit yang menjadikan kumpulan perbankan Malaysia itu paling berpengaruh di rantau ini.

Kini, ketika beliau berusaha meneruskan perjanjian terbesarnya - penggabungan mega tiga institusi bernilai AS$10 bilion menjadikan CIMB sebagai sebuah kumpulan institusi kewangan terbesar Malaysia dan keempat di Asia Tenggara - Nazir mendapati pasaran tidak begitu menyebelahinya.

Isu harga dan kemungkinan ia bakal menolak CIMB keluar daripada fokus strateginya di rantau ini yang mensasarkan pasaran domestik antara bayangan untuk pelabur tempatan dan asing.

Perjanjian penggabungan ini dibuat bersama RHB Bhd, bank bersaiz sederhana dan Malaysia Building Society Bhd (MBSB), pembiaya kewangan terbesar untuk sektor hartanah negara.

Sentimen pelabur yang lemah menyebab penggabungan dicadangkan dan diumumkan dua minggu lalu, turut menerima bantahan daripada pemegang saham utama RHB.

Aabar Investments, syarikat milik Abu Dhabi yang mempunyai hubungan baik dengan Malaysia, mengumumkan bantahannya dan mengancam untuk menghalang penggabungan itu kecuali menerima premium besar untuk pegangan saham 21.4% miliknya dalam RHB.

Manakala di negaranya sendiri, Nazir, 48, menerima respon negatif daripada pesaingnya, Malayan Banking Bhd, yang enggan kehilangan kedudukan bank nombor satu negara.

Eksekutif kewangan kanan yang rapat dengan situasi ini berkata, kumpulan perbankan antarabangsa Goldman Sach sudah menghubungi eksekutif kanan Maybank dengan kertas cadangan untuk membida RHB dan MBSB.

Cadangan penggabungan itu bakal menyaksikan CIMB mempunyai sejumlah aset bernilai AS$194 bilion dan 23% pegangan saham pasaran pinjaman domestik berbanding Maybank yang mempunyai sejumlah 18%.

Meskipun CIMB berjaya dengan penggabungan itu, pengurus dana berkata, isu integrasi bakal mengganggu institusi kewangan itu.

Ini kerana, Nazir yang juga adik bongsu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tiada untuk menyampaikan sinergi yang dijanjikan.

Nazir yang enggan ditemuramah untuk artikel ini, baru-baru ini mengumumkan pelan penukaran jawatannya sebagai CEO kepada pengerusi lembaga pengarah CIMB pada September.

"Pengikut sejak sekian lama CIMB meletakkan 'diskaun Nazir' kepada setiap tindakan Nazir, kerana beliau tiada di kerusi pemandu," kata eksekutif kanan CIMB.

Pelan pertukaran Datuk Seri Nazir Razak sebagai CEO kepada pengerusi lembaga pengarah CIMB dijangka dilaksana pada September. Gambar fail The Malaysian Insider.
Pelan pertukaran Datuk Seri Nazir Razak sebagai CEO kepada pengerusi lembaga pengarah CIMB dijangka dilaksana pada September. Gambar fail The Malaysian Insider.

Namun, beliau dan beberapa lingkaran penasihat Nazir menyuarakan kerisauan terhadap penggabungan mega itu kerana kurangnya campur tangan Nazir.

"Beliau akan terus memberikan kepimpinan strategik," kata pegawai kanan Khazanah Nasional Bhd, yang memiliki 29.9% kepentingan dalam CIMB.

Cadangan penggabungan mega CIMB bakal membentuk drama korporat terbesar Malaysia.

Sebagai permulaan, pelaburan itu memaparkan pelabur paling berkuasa negara.

Selain Khazanah, pemain terbesar industri adalah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), yang mempunyai pegangan saham 14.46% dalam CIMB, 41.38% dalam RHB, dan 65% dalam MBSB.

Kedua-dua syarikat milik negara itu mendominasi landskap korporat Malaysia dengan pegangan dalam entiti tersenarai utama negara.

Pemain industri Malaysia juga membariskan perkhidmatan kumpulan perbankan antarabangsa.

Khazanah dan CIMB turut melibatkan Morgan Stanley dan J P Morgan, senagai penasihat, manakala KWSP dan RHB menggunakan perkhidmatan Deutsche Bank dan Credit Suisse.

Bagaimana permainan itu berlaku kini terpulang kepada pemimpin politik.

"Akhirnya, perjanjian ini akan diteruskan sekiranya perdana menteri bersetuju," kata eksekutif kewangan kanan Malaysia yang terlibat dengan penggabungan berkenaan.

Beliau berkata, Aabar kini membantah cadangan itu, dan kini mula melobi kerajaan Malaysia.

"Ada sokongan daripada kerajaan untuk perjanjian itu," kata pegawai kanan kerajaan, dan berkata, Kuala Lumpur ingin melihat perjanjian itu diteruskan, kerana bakal mewujudkan kumpulan bank yang mampu bersaing dengan kumpulan perbankan Singapura yang mendominasi pasaran Asia Tenggara.

"Tapi terpulang kepada perdana menteri, kerana beliau perlu menimbangkan implikasi kewangan kepada kerajaan."

Najib yang juga menteri kewangan dilihat masih lagi belum membuat sebarang kenyataan terbuka berhubung penggabungan itu.

Nazir memainkan peranan penting dalam pertumbuhan CIMB sejak sedekad lalu. Beliau mengambil alih syarikat yang dikenali sebagai Commerce Asset-Holding dan menjadikannya bank serantau utama melalui pemilikan strategik.

Selepas mengambil alih Bank Niaga Indonesia pada 2002, Nazir menambah firma GK Goh, Bank Thai, dan Southern Bank ke dalam kumpulan itu.

Kumpulan itu mengalami pembaikan korporat dan kemudiannya dinamakan CIMB.

Pada 2012, syarikat itu mengambil alih Royal Bank of Scotland, unit perbankan pelaburan Asia Pasifik untuk meluaskan wilayahnya.

Nazir dan pasukannya menggunakan hampir sedekad lepas untuk mengekstrak tenaga daripada pemilikan CIMB melalui struktur bertindih dalam jaringan wilayahnya.

Masih banyak yang perlu dilakukan, kata penganalisis pelaburan.

Sebagai contoh, CIMB memiliki kos kepada aset yang tinggi - kadar keupayaan yang mengira kos berkaitan saiz pemberi pinjaman - antara bank Malaysia pada 2.27%, kaji selidik J P Morgan mendapati RHB berada pada kedudukan kedua dengan 1.69% dan "metriks ini mencadangkan ada alasan terhad untuk kami menjalankan operasi pemfaktoran pasca perjanjian".

Penasihat Nazir bagaimanapun berkata, kekhuatiran kewangan mampu diatasi. Salah satu pertimbangannya adalah untuk bergabung operasi Islamik daripada tiga entiti mewujudkan bank Islam mega, yang menganggarkan bakal memberikan pulangan tahunan sebanyak AS$1 bilion.

Selain itu, entiti itu juga akan disenaraikan dengan cepat dan penawaran awam akan meningkatkan modal untuk mengurangkan hutang.

Beliau dan lingkaran Nazir berkata, penggabungan mega ini bakal mengatasi kebimbangan antarabangsa berkenaan ketidaktentuan pasaran CIMB di Indonesia dan Thailand, yang mana ketegangan politik mula menyelubungi prospek ekonomi.

"Indonesia mempunyai 30% pendedahan kami, jadi itu kunci kebimbangan. Melalui penggabungan, kami menjadi lebih besar dan kukuh di Malaysia," kata ekskeutif CIMB dan menambah ia bakal menambahkan cawangan CIMB di Singapura daripada dua kepada sembilan cawangan melalui pemilikan operasi RHB.

Sama ada Nazir akan memperolehi lampu hijau bergantung kepada pemegang saham asing dalam RHB.

Abu Dhabi mula muncul dalam arena pada 2008 apabila syarikat milik negara itu, Abu Dhabi Commercial Bank memiliki 25% kepentingan dalam RHB daripada KWSP sekitar RM3.9 bilion (AS$1.23 billion), dengan RM7.20 sesaham.

Tiga tahun kemudian, blok yang dimiliki Abu Dhabi Commercial Bank dijual kepada sebuah lagi syarikat milik negara itu, Aabar Investment untuk RM0.80 sesaham.

Aabar, syarikat minyak pelaburan agresif Abu Dhabi yang dikawal Sheikh Mansour bin Zayed al-Nahyan, tidak gembira dengan cadangan CIMB.

Syarikat itu menyuarakan kebimbangan berkenaan potensi pelaburannya jika dilakukan dengan harga sekarang.

Saham RHB diniagakan sekitar RM9 seunit dan Aabar memaklumkan kepada RHB dan KWSP ia akan menghalang penggabungan itu sekiranya tidak meliputi kos pelaburannya dalam RHB, yang kini berada pada paras RM11.94 (AS$3.76) sesaham.

Ia bakal menjadi penghalang perjanjian.

"Tidak mungkin CIMB akan menggunakan perjanjian melibatkan dua harga dan menggunakan perjanjian yang diminta Aabar," kata pegawai bank kanan di Kuala Lumpur. – 25 Julai, 2014.