Advertisement

Rasuah: Pengarah kastam negeri antara 16 lagi yang ditahan

RM23 juta, 240 akaun bank dibeku berhubung kes pembekalan barangan TLDM

Sejumlah 16 pegawai kanan dan anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) ditahan sejak Rabu lepas bagi membantu siasatan berhubung aktiviti rasuah membabitkan penyeludupan minuman keras tanpa duti dan cukai kastam.

Turut ditahan ialah seorang pengarah kastam negeri yang kini direman sehingga 24 September.

Pengarah Bahagian Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Mohd Jamidan Abdullah berkata penahanan itu adalah hasil siasatan lanjut ke atas tangkapan sebelum ini, iaitu pada 3 Sept selepas pemerhatian selama setahun di kawasan Zon Bebas Pelabuhan Klang oleh pasukan khas yang turut dianggotai polis, Bank Negara dan Lembaga Hasil Dalam Negeri.

"Kita masih menjalankan siasatan terperinci terhadap tangkapan terbaharu ini... kita akan kenal pasti jenis kesalahan yang dilakukan dan modus operandi mereka berhubung aktiviti rasuah ini," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.

Tangkapan itu menjadikan jumlah keseluruhan pegawai kanan dan anggota kastam yang ditahan setakat ini 30 orang.

Sebelum ini, sejumlah 14 pegawai kanan dan anggota kastam ditahan bagi membantu siasatan kes penyeludupan arak dan rokok yang tidak dibayar duti serta cukai membabitkan kerugian RM4 bilion kepada negara.

Mohd Jamidan berkata tangkapan terbaharu ini bukan bertujuan memburuk atau menjatuhkan jabatan berkenaan sebaliknya bagi melumpuhkan aktiviti penyeludupan dan rasuah yang menyebabkan berlaku ketirisan wang negara yang besar.

Beliau berkata dalam mengumpul bukti bagi kegiatan itu, pasukan khas menggunakan kaedah 'Intelligence and Analysis Based Investigation' bagi menembusi aktiviti penyeludupan dan rasuah yang membabitkan anggota sindiket dan penguat kuasa.

Sejumlah lapan pegawai kastam dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan menerima rasuah secara bulanan berjumlah antara RM500 dan RM130,000.

Tujuh daripada mereka didakwa di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Shah Alam manakala seorang lagi di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kuala Lumpur dan mereka berdepan antara lapan hingga 52 pertuduhan. – Bernama, 19 September, 2014.