Sampel B Chong Wei positif, risiko johan badminton dunia itu digantung

Chong Wei perlu tunggu 3 minggu lagi

Pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei disahkan positif dexamethasone dalam ujian sampel B beliau, mengancam kerjaya atlet terbaik negara itu.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada 2 petang nanti akan mengadakan sidang media di ibu pejabat BAM di Bukit Kiara, lapor The Star hari ini.

Chong Wei sebelum ini menjalani ujian doping rawak semasa Kejohanan Dunia di Copenhagen pada 30 Ogos dan pada 5 November di Oslo pula, menyaksikan sendiri sampel B tersebut dibuka.

Beliau berisiko digantung daripada mana-mana pertandingan selama dua tahun, tetapi akan berpeluang untuk menghadiri pendengaran dengan Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Sebelum ini dilaporkan Chong Wei terlibat dalam skandal tersebut selepas kesan dexamethasone dijumpai dalam air kencingnya (sampel A) semasa ujian rawak yang dijalankan di Kejohanan Dunia.

Dexamethasone adalah sejenis steroid dengan fungsi anti-radang, biasanya digunakan untuk membantu pemulihan atlet.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin sebelum ini dilaporkan berkata penyiasatan yang menyeluruh terhadap sejarah perubatan pemain badminton tersebut mendedahkan dexamethasone tersebut diberikan kepadanya pada 17 Julai untuk merawat kecederaan pehanya.

"Kami sedang fikirkan satu lagi ujian sekarang. Atlet tersebut mengambil ujian doping luar pertandingan pada 15 Ogos di Malaysia yang dijalankan oleh Wada (Agensi Anti-Doping Sedunia) sebelum bertanding di Kejohanan Dunia di Copenhagen," kata Khairy dipetik The Star.

Beliau berkata pelbagai ujian independen juga dijalankan oleh Institut Sukan Negara (NSI).

NSI, katanya, turut menjalankan ujian pada minuman dan supplemen atlet itu, sarang burungnya, termasuk gel rambutnya.

"Kami mahu jalankan siasatan terperinci yang mungkin." kata Khairy. – 8 November, 2014.