Sarawak mula rasa bahang pertelingkahan Semenanjung terhadap agama

Sex ed in schools still being discussed, says deputy minister – Bernama

Sejak beberapa tahun lalu, bukan Islam di Sarawak – khususnya majoriti komuniti Kristian – melihat trend yang membimbangkan di kalangan belia mereka.

Pelajar sekolah Kristian pulang ke rumah dan memberitahu ibu bapa, rakan sekelas mereka beragama Islam mula menekan mereka supaya menukar agama.

Di universiti di Kuching, tiba-tiba semakin ramai gadis memakai niqab, berpakaian gaya Arab dari kepala ke hujung kaki menutup segalanya kecuali sepasang mata.

Keadaan tidak berubah walaupun dengan Kementerian Pendidikan melarang pemakaian niqab.

Semasa rumah terbuka perayaan Gawai dan Tahun baru Cina, semakin kurang rakan beragama Islam yang berkunjung.

Mereka yang datang ke rumah terbuka tidak mahu menyentuh makanan yang dihidangkan walaupun tuan rumah memaklumkan sumber makanan itu halal.

Perubahan seumpama itu adalah kesan daripada ekstremisme yang menjangkiti komuniti Islam di Sarawak – yang selama ini menjadi contoh toleransi dan inklusif yang sepatutnya dipelajari Melayu di Semenanjung.

Kini sikap itu semakin berkembang – diimport dari seberang Laut China Selatan – mengancam untuk meruntuhkan ikatan sosial yang mengeratkan komuniti pelbagai kaum Sarawak.

Keadaan ini berlaku ketika pemimpin Islam Sarawak terus menekankan komuniti minoriti mereka masih bersederhana dan boleh bersahabat dengan jiran bukan Islam mereka.

Pengaruh buruk

Masyarakat Islam dan bukan Islam di Sarawak berkata, ada beberapa faktor menyebabkan trend ini berlaku.

Tetapi satu persamaan pendapat mereka ialah ia datang dari Melayu Semenanjung. Media sosial yang dominan juga membantu kepercayaan itu merebak lebih luas daripada sebelum ini.

Salah satu yang paling mengganggu ialah menempatkan guru agama dari tanah besar di sekolah tempatan untuk mengajar kanak-kanak Islam.

Dalam temubual berasingan, seorang guru dari Kuching dan pegawai tertinggi agama mendakwa yang paling bermasalah adalah guru dari Kelantan.

“Kami ada seorang ustazah dari Kelantan yang sering menghina Kristian dalam kelasnya,” kata seorang guru yang mengajar di Kuching.

“Pelajar akan keluar dari kelasnya dan cuba berdakwah kepada orang Kristian tentang bagaimana mereka patut menukar agama kepada Islam,” katanya merujuk kepada aduan pelajar Kristian kepadanya.

Di kampus Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), pelajar dipercayai daripada kumpulan belia Islam menarik perhatian pegawai atasan kerana bersikap ultra-konservatif.

Pada Mac, mereka cuba membuat Unimas melarang satu seminar oleh bekas pakar sosiologi dan aktivis Prof Noraini Othman.

Seorang pegawai Unimas yang tahu mengenai bantahan itu berkata, seminar berkenaan diteruskan tetapi ahli kumpulan terbabit cuba mengganggunya dan mengejeknya.

“Mereka tidak berdebat mengenai apa yang beliau bentangkan, tetapi hanya terus melabelkan Noraini tidak Islamik dan menyimpang. Bantahan seperti itu tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya yang enggan dikenali.

Seorang lagi pensyarah Unimas Dr Faisal Syam Hazis berkata, beliau sedar semakin ramai golongan muda Islam Sarawak yang menjadi bertambah konservatif berbanding ibu bapa mereka.

Faisal berkata, generasi muda lebih terdedah kepada idea dan kepercayaan Islam dari Melayu Semenanjung, mungkin kerana media sosial.

Tetapi, sikap seumpama itu juga diikuti oleh generasi lebih tua.

“Jika tidak kerana orang Islam di Semenanjung, kita tidak tahu apa akan jadi kepada kami masyarakat Islam di Sarawak,” kata seorang pegawai masjid di Kuching.

“Populasi kami hanya 30% di sini. Tetapi masyarakat Islam di Semenanjung mendominasi. Itu bagus,” katanya yang enggan mendedahkan namanya.

Beliau mendakwa, orang Islam di Sarawak tidak mahu bukan Islam menggunakan kalimah Allah – pendirian yang bertentangan daripada ahli politik Islam di Sarawak.

Kekuatan natif

Datuk Daud Abdul Rahman mengakui kewujudan trend itu, tetapi menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama percaya ada tekanan kecil dalam keadaan lebih besar yang sederhana dan terbuka.

“Di Sarawak kita mengamalkan laluan tengah. Kita berbeza daripada orang Islam di Semenanjung dalam pendekatan kami terhadap Islam,” kata bekas jurutera itu kepada The Malaysian Insider.

Daud berkata, dalam isu kalimah Allah contohnya, apabila mesyuarat dengan pegawai agama Melayu dari Semenanjung, beliau akan menekankan berulang kali Sarawak akan mengecualikan dirinya daripada larangan itu.

“Masyarakat Kristian menggunakan perkataan itu sejak lebih 100 tahun lalu dan orang Islam di Sarawak tidak pernah terkeliru dengannya. Tidak ada orang Islam yang murtad kerana kalimah Allah,” katanya.

Beliau mendakwa, pentadbiran juga cuba untuk menyingkirkan guru “yang menyebarkan pandangan negatif di kalangan pelajar sekolah”.

“Tetapi setiap kali kami cuba membawa kes itu, tiada yang mahu tampil ke depan,” katanya.

Katanya, di penghujungnya akan selalu ada pihak ekstremis, contohnya ialah ada orang Sarawak yang mahu menubuhkan Perkasa cawangan tempatan.

Bagaimanapun, katanya, beliau yakin masyarakat Islam Sarawak mampu menjaga diri sendiri menguruskan takdir tanpa perlu melihat ke seberang laut untuk mendapatkan inspirasi.

“Orang Islam Sarawak perlu bergantung kepada diri sendiri. Mereka tidak boleh bergantung kepada umat Islam Semenanjung atau orang lain.

“Mereka perlu menggunakan kekuatan sendiri dan perlu sedar mereka perlu bekerjasama dengan bukan Islam,” katanya.

Sebahagian daripada kekuatan natif ini sudah boleh dilihat sebagai kumpulan majoriti yang bersederhana menyuarakan pendapat dalam keadaan yang memerlukan mereka berbuat demikian.

Ketika isu kalimah Allah hangat didebatkan di lingkungan media sosial baru-baru ini, golongan sederhana menentang larangan itu, kata Rezlan, seorang profesional beragama Islam berumur 20-an.

“Konsepnya mudah saja. Jika anda memang mempunyai keimanan yang kuat, maka tidak ada apa yang perlu dibimbangkan,” katanya. – 13 Julai, 2014.