Saya akan jemput Nazri lawat Sabah tanpa pengawal peribadi, kata Zahid Hamidi

Back Najib on revised budget, Zahid tells opposition

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pandangan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz mengenai keselamatan Sabah hanya merujuk kepada situasi di kawasan berkenaan pada 6 bulan lalu.

Menteri dalam negeri itu berkata pandangan Nazri itu sudah jauh berbeza dengan keadaan semasa di Sabah selepas tertubuhnya Esscom di kawasan itu.

"Saya merasakan keadaan sudah bertambah baik dan saya akan menjemput menteri pelancongan dan kebudayaan untuk bersama-sama dengan saya tanpa pengawal peribadi bagi melawat kawasan berkenaan.

"Saya bersetuju dengan pendapat Datuk Seri Nazri ketika 6 bulan atau setahun yang lalu tetapi keadaan sudah jauh berbeza sekarang kerana Esscom sudah diketuai seorang pegawai kanan polis," katanya pada satu sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Semalam, portal Sin Chew Daily melaporkan Nazri berkata Sabah tidak selamat dan beliau tidak akan pergi ke negeri itu tanpa pengawal peribadi.

Nazri berkata walaupun dengan perlindungan pengawal peribadi, beliau tidak akan dapat tidur nyenyak ketika melawat negeri di Bawah Bayu itu kerana kewujudan Esscom menunjukkan tempat itu tidak selamat.

"Saya hanya berkata benar walaupun di Parlimen. Ada yang tak gembira tetapi itu urusan mereka.

"Jika saya kata di sana selamat kemudian terdapat penculikan lain, bagaimana? Perintah berkurung di timur Sabah sudah dilanjutkan dua minggu. Itu dipanggil selamat?" kata Nazri seperti dilaporkan portal itu.

Zahid berkata, dengan adanya perintah berkurung pada waktu tertentu, keselamatan di kawasan Pantai Timur Sabah akan lebih terjamin.

Katanya, kerajaan negeri Sabah juga mengambil langkah pro aktif mempromosikan kawasan peranginan di Pantai Timur Sabah.

"Saya dimaklumkan pelancong dari luar terutamanya dari China, mereka semakin ramai datang kerana keyakinan yang bertambah terhadap kemampuan pihak pentadbiran Esscom," katanya. – 25 November, 2014.