Advertisement

Saya tidak bertindak bersendirian anjur program Anwar di UM, kata Fahmi

Pemimpin pelajar Universiti Malaya, Fahmi Zainol menolak tuduhan salah guna kuasa sebagai presiden Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaya (MPPUM) dalam menganjurkan program pidato menampilkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Isnin lepas.

Fahmi memberitahu The Malaysian Insider, beliau menerima sokongan majoriti 43 ahli majlis untuk menganjurkan program itu, manakala hanya empat anggota menentang.

Beliau menyifatkan dakwaan tersebut tidak berasas dan berkata pihak yang menuduhnya berat sebelah dan cuba mencari populariti.

"Saya masih ingat semasa Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menghadiri program Fit Malaysia, beliau salah seorang ahli majlis pelajar yang menyertai program tersebut.

"Sekarang mengapa beliau sendiri tidak membenarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, bukan sebagai tokoh politik tapi sebagai bekas pelajar?" soal Fahmi, merujuk kepada ahli majlis MPPUM, Mohd Faridzuan Karim, yang mendakwa program Anwar tersebut tidak dibincang dalam mesyuarat dan beliau sendiri tidak menyokongnya.

Faridzuan dilaporkan berkata MPPUM menentang program Anwar diadakan di kawasan kampus atas alasan Jabatan Hal Ehwal Pelajar universiti tidak menyokongnya.

"Program ini tidak pernah dibincang dengan kami. Kami diabaikan sepenuhnya, seolah-olah kami tidak penting langsung," kata Mohd Faridzuan dipetik sebuah portal, Rabu lalu.

Faridzuan dilaporkan menuduh Fahmi menyalahguna kuasa sebagai presiden MPPUM dan membuat keputusan bersendirian meneruskan program itu.

Fahmi Zainol berkata beliau juga seorang peminat bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. – 31 Oktober, 2014.
Fahmi Zainol berkata beliau juga seorang peminat bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. – 31 Oktober, 2014.

Fahmi bagaimana pun berkata: "Walaupun saya presiden, saya masih perlu mendapatkan pandangan untuk mengadakan program sebegitu. Terdapat 43 ahli majlis pelajar dan hampir setengah bersetuju untuk mengadakannya. 9 ahli berdiam diri dan tiga hingga empat ahli majlis secara terbuka menentangnya."

Fahmi mendakwa mempunyai minit mesyuarat sebagai bukti.

Tambahnya, daripada empat yang menentang program Anwar itu, hanya seorang menghadiri mesyuarat pada Ahad bagi membincangkan program itu.

"Selebihnya yang menentang adalah ahli yang tidak pernah menghadiri mesyuarat sejak dipilih sebagai wakil pelajar dalam pilihan raya lalu. Salah seorang yang hadir dalam pertemuan tersebut, dia datang dua minit sebelum mesyuarat berakhir.

"Beliau tidak dengar taklimat atau faham cadangan kami mengadakan program itu," katanya.

Menurut Fahmi, Faridzuan mendakwa ramai ahli majlis tidak bersetuju dengan program tersebut tetapi gagal mengemukakan bukti.

"Beliau berkata ramai, tapi apabila saya meminta senarai nama beliau gagal buktikannya. Kamu boleh bercakap tapi mana buktinya?" kata Fahmi.

Fahmi juga nafi beliau menjadi agen PKR.

"Saya adalah peminat Tun Dr Mahathir Mohamad tapi tidak bermakna saya menyokong kerajaan.

"Jemputan saya kepada Anwar adalah untuk bercakap kepada pelajar tidak bermakna saya memihak kepada PKR. Sebagai pelajar, kami mampu menilai, menjadi kritikal apabila perlu sama terhadap pembangkang atau kerajaan," kata Fahmi.

Menurut Fahmi, beliau hanya menuntut kebebasan akademik dan mahu UM menggalakkan kebebasan sebegitu.

Program bertajuk "40 Tahun: Dari Universiti Malaya ke Penjara" Isnin lalu diisytiharkan haram oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UM Profesor, Datuk Dr Rohana Yusof atas alasan "merosakkan imej" universiti.

Walaupun dihalang oleh pentadbiran UM, Fahmi dan ratusan mahasiswa dan penyokong Anwar merempuh masuk ke dalam universiti.

Dalam pidatonya, Anwar memberi penghormatan kepada para pelajar yang hadir malam itu, memuji keberanian dan ketegasan dalam menjunjung prinsip mereka.

"Lihat apa yang dilakukan Putrajaya, mereka menanam kezaliman dan penindasan. Belia Malaysia harus menjadi suara hati nurani bangsa," katanya.

UM juga sudah membuat laporan polis mengenai kejadian itu dan pihak universiti memulakan siasatan ke atas penganjur program.

Bercakap kepada The Malaysia Insider semalam, Fahmi, pelajar akhir dalam jurusan Pentadbiran dan Keadilan Sosial, berkata beliau ‎tidak takut berdepan dengan sebarang ancaman tetapi berharap dibenarkan menghabiskan pengajiannya. - 31 Oktober, 2014.