Advertisement

Saya tidak pandai berenang, kata Rosmah tolak dakwaan bil air RM300,000

Kurang pengetahuan punca wanita jadi mangsa keganasan, kata Rosmah

Isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor mengakui beliau tidak pandai berenang bagi ‎menolak tohmahan mengenai perbelanjaan bil air kediaman rasmi di kompleks Seri Perdana lebih daripada RM300,000 pada 2012.

Beliau menegaskan tohmahan yang dibuat ke atasnya sebelum Pilihan Raya ke-13(PRU 13) lalu, adalah tidak masuk akal dan tidak benar.

"Cerita itu sebelum pilihan raya lalu, ada yang fitnah kononnya apabila saya masuk dalam kolam Seri Perdana air tak keluar.

"Saya tidak pandai berenang. Kalau orang itu nak jumpa saya boleh beritahu memang tidak pandai, saya cakap memang tidak tahu kalau pergi laut saya tidak berenang, saya duduk macam filem P. Ramlee itu," katanya pada majlis penyampaian anugerah nadi negara Wanita Umno 2013 di Kuala Lumpur hari ini.

Dalam acara itu, Rosmah dilihat turut menyanyikan tiga buah lagu sambil ditemani beberapa ahli Wanita Umno termasuk ketua Wanita, Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil.

Oktober lepas, Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke mendedahkan jawapan bertulis‎ Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim di Parlimen mengenai butiran terperinci bil ulitiliti serta kos penyelenggaraan kediaman rasmi Datuk Seri Na‎jib Razak dan timbalannya Datuk Seri Muhyiddin Yassin.

Jumlah bil elektrik bagi kediaman rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Kompleks Seri Perdana adalah sebanyak RM2,237,788.13 pada 2012.

Manakala sebanyak RM311,174.25 dibelanjakan untuk pembayaran air sepanjang tahun tersebut.

Pendedahan itu menyebabkan pentadbiran Najib dikritik rakyat memandangkan ketika itu perdana menteri tersebut menyarankan langkah berjimat ekoran kos sara hidup meningkat.

Antara lain dalam ucapannya, Rosmah mengakui meskipun merasa sedih dengan pelbagai tuduhan melulu yang dilemparkan kepadanya, namun itu tidak menghalangnya daripada berbakti kepada rakyat.

Malah beliau juga turut kesal apabila setiap aktivitinya dan kerja amal yang dilakukanya sering diputarbelitkan pihak tidak bertanggungjawab.

"Selaku isteri perdana menteri dan juga presiden Umno, seringkali saya dilemparkan dengan pelbagai tohmahan, fitnah dan kata-kata tuduhan tidak berasas sama sekali.

"Walaupun sedih dengan pelbagai tuduhan melulu, namun saya tidak sesekali melatah, berputus asa ataupun tunduk dengan kata mereka, saya tetap gagahkan diri untuk turun ke padang menjenguk nasib rakyat. – 22 Jun, 2014.