Advertisement

Selagi sejarah Merdeka ditipu, Malaysia tidak akan ke depan

Hari ini, genaplah 57 tahun rakyat Malaysia ditipu Malaya merdeka tanpa darah.

Selama 57 tahun juga kita diberitahu hanya Umno, MCA dan MIC sahaja yang membebaskan Malaya daripada penjajahan British.

Sedangkan, kemerdekaan Malaya pada 31 Ogos, 1957 mempunyai kisah dan cerita yang lebih besar daripada itu.

Penjajah British tidak akan memulakan rundingan kemerdekaan dengan Tunku Abdul Rahman jika tiada perjuangan mengangkat senjata melawan mereka di Malaya.

Terlalu banyak darah yang sudah ditumpahkan dan nyawa yang melayang sebelum bendera Union Jack diturunkan di Dataran Merdeka 57 tahun lalu.

Kita perlu jelas perjuangan mengangkat senjata rakyat Malaya yang bermula pada tahun 1948 itu berlaku selepas British mengisytiharkan darurat dan mengharamkan pertubuhan-pertubuhan politik kiri seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Parti Komunis Malaya (PKM) dan banyak lagi.

Mengapa pertubuhan-pertubuhan ini diharamkan?

Kerana mereka mahu kemerdekaan 100% bagi Malaya.

Mereka mahu British keluar dan tidak lagi mengaut kekayaan ekonomi tanah ini.

Mereka juga mahu Malaya diperintah orang-orang dari tanah ini tanpa mengikut telunjuk British. Ini di antara sebab British memerangi mereka habis-habisan.

Kita perlu tahu parti politik pertama orang-orang Melayu adalah PKMM dan bukannya United Malay National Organization (Umno).

PKMM yang ditubuhkan pada 17 Oktober 1945 juga merupakan parti Melayu pertama dan melaungkan slogan merdeka lebih awal daripada Umno.

10 tahun sebelum merdeka, sudah wujud sebuah pertubuhan politik berbilang kaum dan progresif Putera-AMCJA yang jika berjaya memerintah negara pada ketika itu, akan memusnahkan politik perkauman ciptaan British.

Perlu diingat, pada ketika itu konsep Melayu masih lagi diperdebatkan dan Putera-AMCJA mencadangkan agar semua warganegara Malaya merupakan orang-orang Melayu.

British amat takut dengan kesatuan berbilang kaum dalam Putera-AMCJA dan menghancurkannya. Selain propaganda media, British menangkap pimpinan-pimpinan pertubuhan progresif ini semasa darurat 1948.

Melayu, Cina dan India perlu dipisah-pisahkan supaya mudah bagi British untuk mentadbir. Sehingga hari ini formula sama masih digunakan kerajaan untuk memerintah negara.

Penulis tidak berniat untuk memberi syarahan sejarah, fakta-fakta di atas dikeluarkan agar pembaca boleh mengkaji sendiri dan menilai apa yang sebenarnya berlaku dan peristiwa-peristiwa mendorong tercapainya merdeka.

Walaupun akhirnya kita tidak boleh menafikan, Tunku bersama Umno, MCA dan MIC yang berjaya mendapatkan kemerdekaan Malaya daripada British, latar belakang dan sejarah sebenar yang berlaku perlu diketahui dan diberitahu agar jati diri kita menjadi lebih kuat.

Ia juga bertujuan untuk menghargai peranan semua pihak yang berjuang memerdekakan negara termasuk PKM yang dijadikan “momok” sehingga kini.

Jika sejarah sebenar diberitahu, sambutan kemerdekaan pada tanggal 31 Ogos setiap tahun akan menjadi lebih bermakna kepada semua pihak.

Jika tidak, sambutan hari kemerdekaan Malaya yang kemudiannya menjadi Malaysia pada 16 September 1963 hanya akan dihargai penyokong Umno dan Barisan Nasional (BN) dan tidak melibatkan seluruh negara.

Malaysia harus bergerak ke hadapan. Namun tanpa mengetahui sejarah sebenar, masalah-masalah pokok negara seperti perkauman tidak akan dapat diselesaikan.

Selamat menyambut hari kemerdekaan Malaya yang ke 57. – 31 Ogos, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.