Selangor masih enggan pulangkan Bible, tunggu laporan peguam negara, kata MB

PKR sets Friday for Khalid disciplinary hearing on 6 issues

Kerajaan negeri Selangor masih tegas dengan pendiriannya untuk menunggu sehingga laporan siasatan daripada Pejabat Peguam Negara selesai sebelum memutuskan sama ada mahu memulangkan Bible kepada Persatuan Bible Malaysia (PBM) atau tidak, kata Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menteri besar Selangor itu berkata, tindakan dibuat berdasarkan nasihat pegawai undang-undang negeri untuk menangguhkan pemulangan lebih 300 Bible berbahasa Melayu dan Iban berkenaan sehingga mendapat penjelasan daripada peguam negara.

"Atas nasihat beliau kita kena tangguhkan keputusan itu sehingga kita selesaikan dengan peguam negara," katanya kepada pemberita di luar sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Shah Alam, hari ini. Beliau berkata pihaknya mengambil inisiatif sendiri menyelesaikan isu tersebut mengikut rangka kerja yang ditetapkan dibawah enakmen yang digubal sejak dulu lagi sebelum Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih Selangor.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada teguran Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang melihat pentadbirannya lemah dalam menangani isu tersebut.

Anwar hari ini berkata kerajaan Selangor tidak sepatutnya mengambil sikap lepas tangan dan mendesak supaya 321 Bible berbahasa Melayu dan Iban yang dirampas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dipulangkangkan segera.

Ditanya mengenai kenyataan ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo dari DAP, Khalid tetap mempertahankan kedudukan dan kepentingannya menjaga undang-undang negeri.

"Saya jalankan tugas dan sebagai orang yang pimpin negeri saya mesti ambil kira kepentingan undang-undang dan pentadbiran dengan mengambil kira peranan Jais dan Mais dalam kerja yang kita lakukan," katanya,

Beliau turut menafikan isu ini sekaligus mampu menjejaskan sokongannya dalam pemilihan PKR 2014 bagi merebut jawatan timbalan presiden.

"Isu ini timbul lama sebelum pemilihan. Ada yang marah ada yang sokong," katanya.

PBM semalam berhasrat untuk memindahkan premisnya daripada Petaling Jaya, Selangor ke Kuala Lumpur dalam tempoh dua bulan ekoran insiden serbuan dan rampasan Bible oleh Jais pada Januari lalu.

Presiden PBM Lee Min Choon berkata, Wilayah Persekutuan menawarkan perlindungan hak agama minoriti lebih baik selaras dengan kewujudan “Resolusi 10 Perkara” isu kalimah Allah yang ditetapkan Kabinet.

Antara syarat resolusi tersebut termasuk kebenaran mengimport, mengguna dan mencetak Bible bahasa Melayu.

Bagi aktiviti pengedaran Bible di Semenanjung Malaysia, Lee berkata pihaknya tidak lagi menggunakan Pelabuhan Klang, sebaliknya melalui Pulau Pinang yang tidak ada enakmen agama sama seperti Selangor.

"Kita akan edarkan Bible ke Sabah dan Sarawak di mana ramai penganut menggunakan bahasa Melayu," katanya. – 16 April, 2014.