Selepas kritikan Dr Mahathir, Muhyiddin perlu nasihat Najib letak jawatan, kata Mahfuz

PAS bimbang Malaysia alami darurat ekonomi tahun depan, nilai ringgit jatuh

Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu menasihatkan Datuk Seri Najib Razak agar melepaskan jawatan sebagai perdana menteri selepas kritikan demi kritikan terus diterimanya daripada Tun Dr Mahathir Mohamad, kata Datuk Mahfuz Omar.

Ketua penerangan PAS itu berkata, Muhyiddin sendiri pada minggu lalu sudah menyuarakan kebimbangannya terhadap kemerosotan undi popular yang akan diterima Umno dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

“Ini kata Muhyiddin yang menjadi kebimbangannya ialah PRU yang akan datang BN akan mengalami kemerosotan undi popular maknanya Umno akan merosot dari 48% ke lebih rendah.

“Maknanya ini gambaran lemahnya kerajaan dalam negara kita. Ada Muhyiddin pun tak berani berterus-terang untuk mengusulkan Najib turun.

“Dia tak berani berterus-terang mengusulkan dalam BN bahawa Najib kamu kena turun. Negara kita ini lemah. Masyarakat sudah hilang kepercayaan kepada kamu. Kamu kena turun sebelum BN diturunkan,” katanya ketika berucap dalam ceramah kelompok di Pengkalan Kubor malam tadi.

Muhyiddin ketika berucap merasmikan mesyuarat Umno Bahagian Putrajaya minggu lalu berkata, zaman senang Umno sudah berlalu apabila parti itu kini terpaksa berdepan cabaran perubahan minda pemikiran masyarakat Melayu.

Katanya, walaupun pelbagai bantuan diberikan kerajaan, rakyat masih berasa tidak mencukupi dan semua itu tidak memberi impak terhadap diri mereka.

"Keadaan ini menyebabkan kami berfikir bagaimana harus kita lakukan supaya dapat terus kekalkan kuasa, bukan sahaja untuk masa depan tetapi selama-lamanya.

"Bila orang Melayu tak puas hati, saya risau kerana kita kita adalah pejuang untuk orang Melayu," katanya.

Mahfuz malam tadi juga mencabar mana-mana pemimpin Umno agar menyanggah dan menafikan kritikan Dr Mahathir yang dilemparkan kepada Najib.

Katanya, segala kritikan yang dilontarkan Dr Mahathir sememangnya tidak boleh disangkal kerana ia datang daripada seorang bekas perdana menteri yang berpandangan jauh.

“Satu benda yang tak boleh dinafikan. Saya nak tanya pemimpin Umno yang ada di DUN Pengkalan Kubor ni. Berani tak mereka kata Dr Mahathir hanya duduk bawah tapak kaki mereka?

“Ini orang yang berpengalaman meletakkan batu asas pembangunan negara kita. Ini tidak boleh dinafikan.

“Mengalami kemerosotan undi popular menyebabkan Umno hilang kuasa. Sama dengan Dr Mahathir. Dr Mahathir kata secara terang. Umno akan hilang kuasa jika Najib memerintah,” katanya ketika berucap di hadapan 100 penduduk kampung dalam suasana hujan rintik.

Dr Mahathir pada minggu lalu membuat pengakuan kepada badan bukan kerajaan (NGO) tentang kebimbangan beliau melihat BN kalah pada pilihan raya akan datang sekiranya Najib terus kekal sebagai perdana menteri.

Presiden Ikhlas, Mohd Ridzuan Abdullah sebuah pertubuhan mewakili usahawan dan perdagangan Melayu mendakwa perkara itu disampaikan oleh Dr Mahathir apabila menyatakan tentang masa depan BN di bawah pentadbiran Najib dalam satu pertemuan berlangsung lebih satu jam.

"Dr Mahathir amat jelas mengenai hal ini. Beliau menegaskan pendiriannya ‎untuk tidak menyokong perdana menteri.

"Beliau menyatakan BN akan kalah dalam PRU14 sekiranya peranan Najib berterusan," kata Ridzuan kepada The Malaysian Insider.
Dr Mahathir sebelum ini mengkritik kepimpinan Najib dan menarik kembali sokongan kerana saranannya tidak diendahkan namun tidak jelas sama ada beliau mahu Najib meletakkan jawatan. – 22 September, 2014.