Advertisement

Selepas prestasi buruk Felda, Anak mahu Isa Samad segera diganti

Tindakan Tan Sri Isa Abdul Samad menggantung Pengarah Besar Felda, Datuk Faizoull Ahmad dan prestasi buruk selepas penyenaraian Felda Global Ventures (FGV) menjadi sebab mengapa khidmat pengerusi Felda itu perlu ditamatkan, kata Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak).

Presidennya, Mazlan Aliman berkata Isa akan terus mengambil tindakan drastik selepas ini apabila beberapa pegawai kanan Felda juga akan berdepan masa depan yang tidak menentu, maka tiba masanya jawatan Isa dan Faizoull itu diganti oleh anak Felda sendiri.

“Saya merayu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, cukuplah apa yang dia (Isa) sudah lakukan di Felda ini.

“Saya minta dua jawatan utama ini biarlah diisi oleh anak peneroka Felda. Ramai yang selama ini memegang beberapa jawatan penting dalam Felda. Kenapa mereka tak diberi kepercayaan?

“Isa akan tamat berkhidmat Disember ini. Maka akan berlaku dua kekosongan besar. Saya fikir sampai masanya diberi kepercayaan kepada anak tempatan,” katanya dalam satu sidang media di majlis Makan Malam Marhaen di Cheras malam tadi.

Semalam, Mazlan mendedahkan Faizoull digantung tugas selama dua bulan bermula Jumaat kerana berselisih faham dengan Isa.

Katanya, kemelut dalaman di antara Isa dan Faizoull sudah berlarutan sejak beberapa minggu lalu selepas tindak tanduknya tidak lagi disenangi bekas naib presiden Umno itu.

"Ada kaitan dengan prosedur pelantikan kakitangan yang tidak diputuskan lembaga pengarah Felda dan Jabatan Perkhidmatan Awam.

“Itu salah satu sebab. Ada beberapa sebab di mana tindakan Faizoull tidak disenangi Isa," katanya kepada The Malaysian Insider.

Mazlan berkata antara sebab lain yang dikatakan menjadi punca penggantungan Faizoull adalah pembelian beberapa aset di luar negara selepas penyenaraian FGV.

Katanya, hubungan Isa (gambar, kanan) dan Faizoull juga mula meruncing apabila beberapa syarikat awam menarik balik pelaburan di dalam Felda dan mereka berdua cuba mencari jalan menyelamatkan keadaan gawat itu.

“Antaranya melibatkan pembelian beberapa aset di luar negara termasuk pembelian ladang Pontian United Plantation. Semua pembelian ini menimbulkan polemik antara Faizoull sebagai pengarah besar dan Isa sebagai pengerusi Felda.

“Kesan kejatuhan saham FGV yang menyebabkan beberapa dana kerajaan menarik balik pelaburan mereka antaranya KWSP dan Kumpulan Wang Amanah Pencen antara dana besar yang menarik balik pelaburannya sejak Jun lalu.

“Ini memberi kesan lebih buruk terhadap perjalanan FGV. Di sinilah wujud percanggahan Isa dan Faizoull bagaimana hendak menangani dua keadaan yang gawat,” katanya.

Beliau berkata sebagai pegawai kerajaan, Faizoull hanya menjalankan tugas mengikut peruntukan sedia ada berbeza dengan tindakan ahli politik yang berlegar di sekitar Isa.

Katanya, pengarah besar Felda sebelum ini, Datuk Dzulkifli Abd Wahab turut berusaha keras menyelamatkan syarikat itu namun tidak disenangi Isa.

“Zaman Dzulkifli, timbul persoalan bagaimana Felda boleh mengurus bajet yang berkurangan apabila dibentang dalam mesyuarat lembaga pengarah, bajetnya hampir RM2 bilion, sedangkan pendapatan Felda menyusut 70%.

“Dia (Dzulkifli) mempersoalkan di mana Felda mahu mencari dana mencukupkan bajet RM1.8 bilion apabila mereka cuma dapat RM508 juta setahun daripada perjanjian pajakan yang dipersetujui antara FGV dan Felda.

“Itu pertembungan yang berlaku akhirnya Dzulkifli dipindahkan dan beberapa pegawai kanan terlibat dalam operasi besar pertukaran jawatan, turun pangkat dan sebagainya,” katanya yang menyifatkan penggantungan Faizoull adalah satu bentuk penyingkiran.

Mazlan berkata dengan apa yang berlaku kepada Felda, Najib tidak lagi boleh berdiam diri dan perlu segera mengumumkan langkah untuk menyelamatkan syarikat itu.

Katanya, saham FGV yang menunjukkan trend menjunam selepas diterbitkan pada RM4.55 perlu dijadikan kebimbangan besar dengan tindakan penggantungan oleh Bursa Malaysia.

“Krisis dalaman pegawai tinggi Felda memberi kesan langsung kepada 23,000 kakitangan. Kita minta Perdana Menteri umumkan tindakan kerajaan ekoran kejatuhan saham FGV. Sekarang berada pada tahap RM2.60. Dah tak sampai separuh dari saham terbitan.

“Saya dapat maklumat daripada beberapa pakar ekonomi, dalam tempoh sebulan ini, ia akan dijangka turun dengan lebih drastik,” katanya yang menjangkakan bajet Felda 2015 mengalami pemotongan besar selepas aliran tunai syarikat itu semakin buruk.

Beliau berkata selepas penyenaraian FGV, Felda kini hanya bergantung kepada ihsan kerajaan walaupun masih memiliki simpanan tetap dan pelaburan lain.

“Kesemua aset dalam Felda ini dimiliki oleh FGV, mereka dah bayar, Felda tak ada apa, mereka hidup dengan simpanan tetap dan pelaburan. Hari ini mereka terpaksa gunakan simpanan termasuk pelaburan untuk Felda selamat. Sampai bila mereka boleh bertahan?

“Mereka hanya dapat RM508 juta setahun daripada perjanjian pajakan dengan FGV sedangkan bajet tahunan mereka RM1.8 billion. Mana mereka nak cari duit? Mereka bergantung ihsan kerajaan sahaja,” katanya.

Mazlan berkata ada kemungkinan FGV tidak membayar RM508 juta setahun kepada Felda kerana mengikut perjanjian pajakan, FGV tidak akan membayar jumlah itu sekiranya mereka tidak mendapat 15% keuntungan daripada hasil pertanian.

“Kita boleh bayangkan bagaimana operasi Felda dengan suasana macam ni.

“Kerajaan mesti berterus terang. Mereka tak boleh kata Felda stabil. Akui keadaan Felda. Apakah langkah kerajaan sekiranya FGV terus merudum?” katanya. – 14 Disember, 2014.