Selesaikan pertikaian orang Islam, bukan Islam di mahkamah sivil, kata pakar

Mualaf akhirnya bawa anak ‘diculik’ ke mahkamah

Seorang pakar undang-undang mencadangkan supaya kes pertikaian antara orang Islam dan bukan Islam diadili di mahkamah sivil bagi memudahkan kes mereka didengar di satu tempat yang sama.

Timbalan Dekan Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Najibah Mohd Zin, berkata langkah itu boleh menjadi penyelesaian kepada permasalahan orang bukan Islam, yang pada masa ini tidak dapat menuntut keadilan di mahkamah syariah bila pasangan mereka memeluk agama Islam.

Pada masa sama, ia juga dapat mengelakkan dua sistem keadilan mengeluarkan perintah berbeza bila satu kes yang sama diadili di mahkamah syariah dan di mahkamah sivil.

"Bagi saya kes-kes ini tidak salah untuk dibawa ke mahkamah sivil kerana di situ ada orang Islam dan bukan Islam (peguam dan hakim) yang boleh mendengar kes berkenaan," katanya.

Beliau diminta mengulas isu pemberian hak penjagaan anak oleh mahkamah syariah dan mahkamahsSivil masing-masing kepada bapa dan ibu, yang berpisah disebabkan perbezaan agama.

Dalam kes membabitkan mualaf Izwan Abdullah, beliau mengambil anak lelakinya daripada jagaan bekas isterinya, S Deepa yang beragama Hindu di Jelebu, Negeri Sembilan, sehari selepas Deepa mendapat hak penjagaan daripada Mahkamah Tinggi Seremban pada 7 April.

Izwan sebelum itu sudah mendapatkan hak penjagaan ke atas dua orang anak mereka daripada Mahkamah Syariah Seremban.

Najibah, yang pakar dalam pengkhususan Undang-undang Keluarga, juga bersetuju dengan cadangan untuk mengharmonisasikan undang-undang sivil dan syariah sebagaimana yang pernah disuarakan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad hampir 20 tahun lalu, bagi menyelesaikan konflik antara kedua-dua mahkamah itu.

"Satu forum (mahkamah) atau tribunal juga boleh diwujudkan untuk berkongsi masalah yang sama, namun ia harus berdasarkan prinsip yang betul agar ia dapat mendamaikan kedua-dua pihak," kata Najibah.

Katanya, cadangan itu agar sukar direalisasikan namun ia menawarkan penyelesaian lebih baik dan adil kepada semua pihak dan bukannya bertujuan untuk bersaing antara Islam dan bukan Islam.

"Isu agama memang sensitif, semua hati nak dijaga, tetapi jika semua lebih berlapang dada, dakwah itu lebih meluas dan orang bukan Islam juga dapat melihat Islam sebenarnya turut meraikan hak bukan Islam," katanya.

Beliau turut menasihati ibu bapa yang berlainan agama supaya sentiasa meletakkan kepentingan kebajikan anak mereka mengatasi perkara lain dalam pertikaian kes di mahkamah bagi memastikan anak dapat membesar dalam suasana bebas konflik.

Katanya, prinsip anak akan diutamakan secara asasnya dalam undang-undang, bukannya isu agama, sama ada di mahkamah sivil mahupun di mahkamah syariah.

"Walaupun wujud pandangan berbeza oleh sesetengah ulama kerana berkait rapat dengan penjagaan, maka mahkamah perlu melihat kepada fakta kes sebelum membuat keputusan secara keseluruhan bagi menentukan siapa yang layak diberi hak penjagaan," katanya. – Bernama, 16 April, 2014.